Penunggang motosikal maut bertembung pacuan empat roda

Motosikal ditunggang mangsa yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.- Foto PDRM
Motosikal ditunggang mangsa yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.- Foto PDRM
A
A
A

BENTONG - Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 1.7 Jalan Bentong-Karak, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa, Ahmad Azree Abdul Razak, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kejadian dipercayai berlaku semasa pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 43 tahun itu masuk ke simpang Taman Ketari.

"Motosikal ditunggang mangsa dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kiri penumpang hadapan pacuan empat roda tersebut.

"Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ujian air kencing ke atas pemandu pacuan empat roda itu didapati positif methamphetamine," kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jelas beliau lagi, suspek direman dua hari bermula Isnin.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

"Kita juga ingin memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan," tambah beliau.