PRN Kedah: Kesiapsiagaan jentera UMNO pada tahap tinggi

Reezal Merican (dua dari kiri) memberi penerangan ketika sidang media selepas mengadakan perjumpaan dan taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah bersama para kepimpinan parti di Bangunan Tunku hari ini. - Foto Bernama
Reezal Merican (dua dari kiri) memberi penerangan ketika sidang media selepas mengadakan perjumpaan dan taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah bersama para kepimpinan parti di Bangunan Tunku hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kesiapsiagaan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah kini berada pada tahap yang tinggi, kata Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, keazaman dan semangat ahli parti itu bagi membantu dan memastikan kemenangan pada PRN akan datang masih tinggi meskipun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak seperti yang mereka harapkan.

"Pola pengundian tidak semestinya berada pada tahap yang sama dan kecenderungan itu pasti akan berlaku... namun dalam keadaan apa sekali pun, kita tidak akan berputus asa kerana rakyat Kedah mendambakan pentadbiran negeri dan negara berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO Perlis dan Perak dilantik sebagai 'bapa angkat' kepada BN Kedah sebagai persiapan menghadapi PRN.

Katanya, 15 Bahagian UMNO di Kedah sudah ada ‘bapa angkat’ masing-masing manakala taklimat mengenai gerak kerja yang perlu dilakukan semua pihak terlibat telah diberikan oleh Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO.

"Kita sudah berada di landasan yang betul bagi menghadapi PRN dan pada saya ahli UMNO yang berada dalam pasti masih kekal dengan semangat parti..dan saya lihat ada pihak yang semacam mahu balik semula dan mengundi BN kerana rakyat Kedah cerdik dan tahu menilai,” katanya. - Bernama