Pulau Pinang tangguh majlis rasmi, istiadat ke Oktober

Law Choo Kiang
Law Choo Kiang
A
A
A

GEORGETOWN - Semua istiadat dan majlis-majlis rasmi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-74 Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah ditangguhkan ke Oktober atau satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, perkara itu dibuat susulan pembubaran DUN Pulau Pinang Ke-14 pada 28 Jun lalu.

"Semua istiadat dan majlis rasmi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-74 TYT telah ditangguhkan ke Oktober atau satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Bagaimanapun, 8 Julai ini telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am sempena sambutan ulang tahun TYT Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah mengadap Ahmad Fuzi bagi mendapatkan persetujuan membubarkan DUN Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang telah mendapat persetujuan Ahmad Fuzi untuk tujuan tersebut bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Susulan daripada itu, kerajaan Pulau Pinang akan dipimpin oleh Kerajaan Caretaker yang mana Ketua Menteri Pulau Pinang dan semua Exco Kerajaan Negeri akan terus berkhidmat sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selaras dengan Perkara 7(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah diusir daripada Dewan Undangan Negeri pada Mac lalu selepas Dewan meluluskan usul untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi mengikut undang-undang anti lompat parti.