Dakwa DAP guna isu sensitif 3R, Pas gesa KKD bertindak adil

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) digesa bersikap adil dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang telah menggunakan isu sensitif 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty) sebagai modal politik.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan tegas itu termasuklah terhadap DAP yang didakwa telah menggunakan isu 3R secara terang-terangan.

"Kenyataan Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan) terhadap tindakan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam) dalam isu pemakaian seluar pendek yang sengaja dijadikan isu bagi menyebarkan Islamofobia.

"Kenyataan Tony Pua yang menggelar bukan sahaja Barisan Nasional (BN) tetapi parti nasionalis atau parti yang dipimpin orang Melayu sebagai korup.

"Kenyataan Lim Guan Eng kononnya undi PN (Perikatan Nasional) di Pulau Pinang akan memadamkan Pulau Pinang yang jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, politik bertujuan untuk membangkitkan isu rakyat dan mencari penyelesaian, bukannya mewujudkan persengketaan serta kebencian seperti yang dilakukan DAP.

Sehubungan itu, tegas beliau, Pas komited memberi keutamaan kepada isu rakyat serta tawaran PN sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Pas tidak akan mengikut jejak langkah DAP yang begitu terdesak sehingga sanggup menjadi batu api dengan menyentuh isu sensitif melibatkan 3R dalam kenyataan-kenyataan mereka," katanya.