MOF, KKD bincang sekat 'scammer' eBeliaRahmah

Ahmad ( tengah) pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor pada Ahad.
Ahmad ( tengah) pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan berbincang mengenai langkah menyekat penipuan eBeliaRahmah.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan pada Isnin itu tertumpu kepada usaha untuk memberi kesedaran dan tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelak penerima eBeliaRahmah ditipu 'scammer'.

"MOF tidak mahu belia berusia 18 hingga 20 tahun ditipu dengan 'scammer' yang mendakwa boleh berikan mereka tunai, kononnya dikenakan servis RM15 tetapi selepas itu RM200 dalam eBeliaRahmah mereka lesap.

"Usaha perlu dilakukan melalui laman sosial, saluran media televisyen, radio dan akhbar berkait langkah mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Johor di sini, pada Ahad.

Menurut Ahmad, kredit eBeliaRahmah tidak boleh ditebus tunai mahupun dipindah kepada pemilik akaun yang lain.

"Golongan belia yang layak boleh mendaftar melalui satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch 'n Go eWallet.

"Kredit eBeliaRahmah dan manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet berkenaan boleh dibelanjakan secara 'offline' hingga 31 Ogos 2023," katanya.

Sebelum itu media melaporkan segelintir penerima bantuan menjadi mangsa penipuan pihak yang kononnya menyediakan 'perkhidmatan' menunaikan kredit eBeliaRahmah bagi tujuan terbabit di platform media sosial.

Tinjauan platform media sosial mendapati banyak iklan menawarkan perkhidmatan menukar kredit eBeliaRahmah kepada wang tunai, sama ada secara percuma atau mengenakan bayaran sehingga RM15 bagi satu transaksi.

Program eBeliaRahmah ialah inisiatif kerajaan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2023 bagi memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, selain meringankan beban kewangan golongan berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar insititut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.