Isu kompaun pakaian tidak sopan selesai: Kor Ming

Kor Ming (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke Ipoh pada Sabtu.
Kor Ming (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja ke Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Isu kompaun ke atas seorang peniaga wanita bukan Islam yang berpakaian kurang sopan telah selesai, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, perbincangan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) telah bersetuju untuk membatalkan kompaun berkenaan.

"Isu ini telahpun selesai dan saya harap kejadian sedemikian tidak akan berulang.

"Malaysia yang tercinta ini adalah negara yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

"Kita harus mengamalkan sikap hormat menghormati. Kita perlu menghormati Islam dan bukan Islam juga perlu dibela, itu semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ipoh pada Sabtu.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Kor Ming turut menjelaskan bahawa tidak timbul isu campurtangan kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadiran kerajaan tempatan seperti didakwa sesetengah pihak.

"Saya cuma ingatkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT), apabila kita menguatkuasakan undang-undang, jangan terlalu ghairah.

"Sebaliknya kita harus memahami intipati dan semangat Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita bukan Islam dikompaun kerana berpakaian tidak sopan dengan berseluar pendek di tempat awam.

Tindakan kompaun diambil kepada wanita berusia 35 tahun itu ketika pemeriksaan mengejut di kedainya di Jalan Merbau, di sini, kelmarin selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 2019.

Dalam laporan berasingan, bapa angkat kepada wanita berkenaan memaklumkan sudahpun menjelaskan kompaun yang dikenakan dan berharap isu itu tidak berlarutan atau dijadikan modal politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!