Perkeso mohon maaf isu wanita skirt pendek dihalang masuk pejabat

Perkeso
Perkeso
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memohon maaf kepada pengunjung dikenali dengan nama 'May' susulan insiden membabitkan pengawal keselamatan tidak membenarkannya masuk ke premis agensi tersebut dengan alasan skirt yang dipakai itu tidak sesuai.

Bahagian Komunikasi Dan Hal Ehwal Korporat Perkeso dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius berhubung isu itu yang kini berada dalam proses siasatan peringkat dalaman.

“Kami memohon maaf kepada 'May' susulan insiden membabitkan pengawal keselamatan terbabit, yang tindakannya tidak selari dengan prinsip Prihatin Perkeso.

“Kami berharap isu ini tidak akan mencetuskan spekulasi berpanjangan yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, media melaporkan peguam, Datuk Ajit Singh Jessy mendakwa rakan sekerja wanitanya, 'May' dihalang masuk ke pejabat Perkeso oleh pengawal keselamatan kerana kod etika pemakaian skirt yang didakwa terlalu pendek.

Ujar Ajit Singh, May yang juga merupakan pengurus pejabatnya itu menemani beliau ke pejabat Perkeso kerana urusan mendaftarkan pembantu rumahnya di bawah Perkeso.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, Perkeso menegaskan bahawa kaunter dan pejabatnya sentiasa terbuka untuk dikunjungi orang ramai.

“Sebagai penyedia perkhidmatan perlindungan sosial, Perkeso adalah sebuah organisasi berteraskan pelanggan yang mengutamakan keperluan pelanggan.

“Kami berharap insiden ini tidak menghalang May atau sesiapa sahaja daripada mengunjungi mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.