Dewan Ulamak Pas perlu nyatakan pendirian - Anwar

Anwar ketika hadir ke majlis kurban perdana Madani du Masjid Jamek Al-Qadri, Sama Gagah pada Jumaat.
Anwar ketika hadir ke majlis kurban perdana Madani du Masjid Jamek Al-Qadri, Sama Gagah pada Jumaat.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Dewan Ulamak Pas Pusat menyatakan pendirian berhubung kenyataan-kenyataan mengelirukan yang pernah dikeluarkan bekas Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Syeikh Zainul Asri Mohd Romli.

Anwar mempertikaikan mengapa tiada ulamak mahupun pimpinan parti itu yang menegur dan memperbetulkan kenyataannya yang beberapa kali mencetuskan kegusaran ramai.

Menurutnya, antara kenyataan kontroversi yang pernah diungkapkan pendakwah itu seperti Nabi Adam pernah turun di Gunung Jerai dan Saidina Usman bin Affan RA serta keluarga pernah ke Kedah.

Malah terbaru Anwar berkata, ustaz itu mendakwa sekiranya tidak menyokong parti mereka dianggap sebagai musuh ALLAH.

"Sebab apa ustaz-ustaz dan tok guru Pas tak bagi teguran dan betulkan kesilapan seperti ini.

"Saya nak minta Dewan Ulamak Pas jawab betul ke tak kenyataan yang dikeluarkan itu..Kalau tak betul tolong betulkan," katanya ketika berucap pada majlis kurban perdana Madani du Masjid Jamek Al-Qadri, Sama Gagah di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenyataan-kenyataan mengelirukan itu boleh mencetuskan masalah umat terutamanya kepada ribuan penyokong-penyokong yang walak.

Katanya, perkara itu sepatutnya boleh ditangani oleh Pas yang dikatakan mahu menegakkan Islam namun parti itu sendiri tidak dapat menanganginya hingga menyebabkan kekeliruan.

"Saya minta beberapa soalan ini dijawab, kenapa mereka tak betulkan kekeliruan ini..tak perlu polis panggil, Jakim atau majlis fatwa dan majlis agama Islam tapi parti itu sendiri.

"Apakah benar orang yang tidak bersama Pas dikatakan musuh ALLAH..kalau betul musuh ALLAH kenapa Almahrum Tok Guru Nik Aziz sokong saya menjadi Perdana Menteri sedangkan saya bukan ahli Pas," katanya lagi.

Beliau menegaskan penyampaian dakwah mestilah dilalukan secara ‘bil hikmah’ (secara berhikmah) dan tegakkan Islam bukan dengan kepalsuan.

Media sebelum ini melaporkan, pendakwah bebas, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli memohon maaf dan membuat penjelasan berhubung ucapannya yang menyebut ‘musuh ALLAH’ semasa Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, pada 24 Jun lalu.

Dalam ucapan ketika menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat, Syeikh Muhd Zainul Asri berharap agar ‘Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh ALLAH SWT dan dimenangkan agama ALLAH SWT’.