Bomba Perak giat usaha kesedaran keselamatan awam

Sayani (tengah) menyampaikan daging korban kepada penerima sambil disaksikan Jamilah (kiri) sempena Program Imarah Aidiladha JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini pada Jumaat.
Sayani (tengah) menyampaikan daging korban kepada penerima sambil disaksikan Jamilah (kiri) sempena Program Imarah Aidiladha JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak (JBPM) akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bagi mempergiatkan usaha memperkasa kesedaran keselamatan dalam kalangan orang awam.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, buat julung kalinya jabatan berkenaan bekerjasama dengan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) yang menaungi beberapa NGO di negeri ini menerusi Program Imarah Aidiladha.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan juga turut membabitkan anggota serta pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat dari luar Ipoh untuk bersama-sama memeriahkan program berkenaan.

"Kita sebenarnya setiap tahun mengadakan program ibadah korban ini cuma kali ini kita bekerjasama dengan Wanita Perak dengan beberapa NGO untuk menjayakan program korban.

"Saya harap bukan sekadar program ini, tetapi kita akan perluaskan program memperkasa kesedaran keselamatan awam kepada NGO-NGO pada masa akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Imarah Aidiladha JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak, Jamilah Zakaria yang mewakili Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed.

Menurutnya, pada program tersebut sebanyak lima ekor lembu dan dua ekor kerbau dikorbankan untuk diagihkan kepada masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.

Sementara itu Jamilah berkata, sebanyak enam NGO yang terlibat membantu menguruskan daging korban berkenaan bersama-sama anggota bomba dan penyelamat.

Menurutnya, pihak Wanita Perak turut mengalu-alukan sebarang kerjasama pada masa akan datang membabitkan pihak JBPM Perak dengan sekretariat berkenaan.