Arab Saudi kecam, kutuk tindakan bakar al-Quran di Sweden

Kementerian Luar Arab Saudi mengecam dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan seorang ekstremis membakar naskhah kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden pada Rabu. - Foto REUTERS
Kementerian Luar Arab Saudi mengecam dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan seorang ekstremis membakar naskhah kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden pada Rabu. - Foto REUTERS
A
A
A

KEMENTERIAN Luar Arab Saudi mengecam dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan seorang ekstremis membakar naskhah kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden pada Rabu semasa sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Tindakan kebencian dan berulang kali ini tidak dapat diterima dengan sebarang justifikasi dan ia jelas merangsang kebencian, perkauman serta bertentangan secara langsung dengan usaha antarabangsa yang bertujuan menyebarkan nilai-nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan terhadap ekstremisme serta merosakkan saling hormat-menghormati yang dituntut dalam hubungan rakyat dengan rakyat serta di peringkat negara," kata Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan yang dikeluarkan, lapor portal berita Arab News.

Pada Rabu, seorang lelaki Salwan Momika, ditahan oleh polis Sweden kerana didakwa melakukan "memprovokasi kumpulan etnik" selepas menghina dan membakar al-Quran di luar masjid utama di Stockholm. Momika, 37, berkata, dia tiba di Sweden lima tahun lalu dari Iraq dan memiliki kerakyatan negara itu.

Momika turut menganggap dirinya sebagai individu yang berpegang kepada hidup tanpa tuhan atau golongan ateis.

Katanya, tindakan yang dilakukannya itu sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara.

"Ini adalah demokrasi. Ia dalam bahaya jika mereka memberitahu kita kita tidak boleh melakukan ini," dakwa Momika.

Mengulas tindakan menghina kitab suci al-Quran itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata, protes yang dilakukan Momika itu adalah “mengikut undang-undang tetapi tidak sesuai" dan terserah pada budi bicara polis untuk membenarkannya atau tidak.

Pihak berkuasa negara itu menegaskan, protes itu tidak menyebabkan "gangguan kepada ketertiban" tetapi Momika didakwa kerana dia memilih untuk membakar al-Quran berdekatan dengan masjid.

Momika juga sedang disiasat kerana melanggar larangan sementara untuk membakar bahan api.

Arab Saudi merupakan negara kedua selepas Turki yang turut mengutuk tindakan dilakukan Momika yang disifatkan sebagai perbuatan keji.

"Ia tidak dapat diterima membenarkan tindakan anti-Islam ini di bawah alasan kebebasan bersuara," kata Menteri Luar Turki, Hakan Fidan. - Agensi