Wagner memberontak kerana kontrak dengan Kementerian Pertahanan

Kenderaan Kumpulan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia di Rostov-on-Don. - Foto AFP
Kenderaan Kumpulan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera Selatan Rusia di Rostov-on-Don. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Ahli parlimen kanan Rusia, Andrey Kartapolov pada Khamis berkata, ketua kumpulan separa tentera Wagner, Yevgeny Prigozhin, memberontak selepas semua pasukan yang berperang di pihak Rusia diminta menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan menjelang 1 Julai.

Pada sidang akhbar di Moscow, Kartapolov yang mengetuai Jawatankuasa Pertahanan Dewan Perwakilan Duma, dewan rendah parlimen, berkata, kontrak perkhidmatan tentera itu merupakan satu-satunya cara untuk menghalalkan semua pejuang dan memastikan hak mereka, termasuk hak bayaran sosial, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Kartapolov, kecuali Prigozhin, kesemua pihak lain mula melaksanakan keputusan itu.

Prigozhin diberitahu bahawa jika beliau tidak menandatangani kontrak itu beliau tidak dapat untuk terus menyertai 'operasi ketenteraan khas', dan kumpulan separa tenteranya akan hilang pembiayaan, katanya dan menambah ketua Kumpulan Wagner berkenaan enggan menandatangani kontrak itu.

"Berikutan itu, situasi berikut berlaku - pertama wang, kedua kehendak yang bodoh dan melampau, dan ketiga keterujaan yang menyebabkan cubaan pengkhianatan dan menipu rakan seperjuangan," katanya.

Pada 24 Jun, Prigozhin menuduh Kementerian Pertahanan Rusia menyerang pejuangnya dan mengisytiharkan 'Perarakan Keadilan', dan bergerak ke Moscow, dengan membuat kenyataan bahawa dia akan menggulingkan ketua-ketua tentera.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan menamakan tindakan Kumpulan Wagner sebagai 'pemberontakan bersenjata' dan membuka kes jenayah terhadap Prigozhin, manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan kebangkitan pasukan separa tentera swasta itu sebagai 'tindakan khianat'.

Prigozhin dan pejuangnya kemudian memutuskan untuk berpatah balik bagi mengelak pertumpahan darah ketika berada 200 kilometer (124 batu) dari Moscow.

Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berkata, beliau menyumbang kepada penyelesaian itu dengan mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner, yang seterusnya membawa kepada keputusan Prigozhin menerima perjanjian damai. - Bernama-Anadolu