Anggota polis dirempuh lori kontena kini stabil

Anggota polis lelaki cedera susulan pagar dan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dirempuh sebuah lori kontena. - Foto tular di internet.
Anggota polis lelaki cedera susulan pagar dan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dirempuh sebuah lori kontena. - Foto tular di internet.
A
A
A

IPOH - Anggota polis lelaki yang cedera susulan pagar dan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dirempuh sebuah lori kontena, awal pagi Rabu, berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, anggota polis berusia 23 tahun dan berasal dari Sarawak itu dibenarkan keluar dari hospital dan diberi cuti rehat.

Menurut Mohd Yusri beliau telah melawat anggota berkenaan semalam dan mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius serta mendapat pelepasan daripada Hospital Tapah untuk berehat.

Beliau juga telah melawat IPD Tapah pada 10.30 pagi semalam bersama ketua-ketua jabatan bagi mengetahui keadaan rempuhan tersebut dan mendapati kerosakan yang agak serius di bahagian pagar serta pos pengawal.

"Saya telah mengarahkan pihak IPD Tapah untuk menyediakan laporan berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha peringkat IPD Ipoh yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan di sini pada Ahad.

Semalam, Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 1.25 pagi itu, pemandu lori kontena berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh dengan membawa muatan kerusi meja, dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pagar utama dan pos pengawal IPD Tapah.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, seorang anggota polis yang sedang bertugas di pos pengawal berkenaan mengalami patah satu gigi hadapan, luka pada bahagian mulut dan cedera tangan kiri. - Bernama.