Kedudukan tompokan minyak di Tanjung Balau sudah dikenal pasti

Foto Youtube.com
Foto Youtube.com
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kedudukan sebenar tompokan minyak yang berlaku di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, pada Khamis sudah dikenal pasti, kata Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah.

Beliau berkata, tompokan itu dikesan berada pada jarak tiga batu nautika dari Tanjung Penawar pada pukul 1.20 tengah hari tadi.

“Anggaran keluasan minyak ialah 200-300m panjang dan 50-70m lebar dalam keadaan berselerak.

“Namun, operasi pembersihan telah dilakukan oleh anggota kedua-dua aset jabatan iaitu Bot Al Tair yang menggunakan kaedah Semburan Dispersant dan Absorbent Boom manakala Al Nilam menggunakan Absorbent Boom,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai memaklumkan perkembangan operasi pemantauan kes itu.

Dickson berkata, operasi pemantauan yang dilakukan oleh Bot Al Nilam telah diperluaskan dan ditumpukan di kawasan satu batu nautika dari Tanjung Balau-Tanjung Penyusop dan dua batu nautika dari Tanjung Penyusop-Tanjung Balau.

Al-Tair pula memantau kawasan tiga batu nautika dari Tanjung Balau-Pulau Mungging dan lima batu nautika dari Pulau Mungging-Tanjung Balau yang melibatkan keluasan pemantauan keseluruhan sejauh 65.20 batu nautika (pergi balik).

Ini berbeza dengan pemantauan pada hari pertama operasi yang memfokuskan kawasan perairan Desaru dan Teluk Penawar dengan jarak 1.5 hingga tiga batu nautika dari pantai dan pemantauan pergi dan balik melibatkan Pulau Lima ke Tanjung Balau.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis lepas, Jabatan Laut melaporkan telah menemukan satu lagi tompokan minyak baharu di perairan Tanjung Balau - hanya beberapa minggu selepas berlakunya kes tumpahan minyak Marine Fuel Oil (MFO) di Tanjung Balau pada 17 April.

Penemuan kali ini adalah berdasarkan maklumat imej satelit yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beribu pejabat di United Kingdom. - Bernama