Seonma gadis Korea Selatan teruja sambut Aidiladha

Seonma
Seonma
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita warganegara Korea Selatan menzahirkan keterujaan apabila berpeluang untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidiladha.

Menurut Shin Seonma, sambutan hari raya itu merupakan sesuatu yang menarik untuk dipelajari kerana ia bukan semata-mata perayaan tetapi lebih kepada mendidik diri bersyukur dan mengamalkan sikap berkongsi.

“Memandangkan saya bercadang untuk terus menetap di Malaysia, saya mahu mempelajari dan memahami budaya-budaya yang diamalkan oleh rakyat di negara ini.

“Saya begitu tertarik dengan Hari Raya Aidiladha kerana disebalik sambutan itu, ia membawa kebaikan dengan mengagihkan daging sembelihan kepada orang ramai khususnya yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Tambah wanita berusia 31 tahun itu, perayaan itu mengajar dirinya erti untuk sentiasa mengingati orang yang berada dalam kesusahan.

Seonma berkata lagi, mungkin ada sesetengah orang sensitif dengan acara penyembelihan haiwan pada hari raya tersebut, tetapi mereka sepatutnya menghormati dan mempelajari mengenainya.

Katanya, jika ada persoalan yang timbul, rakan-rakan yang beragama Islam akan menjadi rujukan dan mereka juga banyak memberi pendedahan tentang budaya serta tuntutan sebagai muslim.

“Saya ada kawan beragama Islam tetapi tidak begitu ramai. Mereka banyak membantu saya untuk mengetahui perkara asas yang diamalkan seperti berpuasa.

“Sejujurnya, saya ada cuba untuk berpuasa, tetapi tidak pernah berjaya sehingga waktu berbuka. Saya amat mengagumi orang Islam kerana sanggup menahan lapar seharian,” ujarnya.

Pada masa sama, Seonma turut memberitahu, hidangan hari raya yang paling digemari ialah rendang dan lemang.

Beritahu wanita berkenaan, sekiranya diberi peluang mempelajari masakan tradisi orang Melayu, dia begitu teringin untuk mencuba memasak hidangan tersebut.

“Walaupun saya bakal menamatkan status bujang bersama seorang jejaka berbangsa Cina, ia bukanlah satu alasan untuk tidak mempelajari cara memasak rendang dan lemang.

“Kedua-dua juadah itu merupakan makanan yang dinantikan setiap kali menjelangnya hari raya dan kini ia telah pun menjadi makanan kegemaran saya sejak kali pertama mencubanya,” beritahu Seonma.