'Korban' demi Arafah #QuranHour

Normah Hanum (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pentadabbur, Ridzuan Mohd Noor sempena program Arafah #QuranHour peringkat negeri Perak di Taman Tawas Mewah pada Rabu.
Normah Hanum (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pentadabbur, Ridzuan Mohd Noor sempena program Arafah #QuranHour peringkat negeri Perak di Taman Tawas Mewah pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seramai 150 ahli Rumah Ngaji meluangkan masa kira-kira sejam mengikuti perjalanan Arafah #QuranHour yang julung kali dianjurkan Rumah Ngaji Negeri Perak.

Penasihat Rumah Ngaji Negeri Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, biarpun pertama kali dilaksanakan, kehadiran peserta amat baik dalam kalangan ahli Rumah Ngaji serta penduduk setempat.

Menurutnya, komitmen ahli Rumah Ngaji Perak amat baik dalam setiap program yang diadakan bukan sahaja pada penganjuran Arafah #QuranHour kali ini.

"Kita amat berbesar hati dengan komitmen diberikan seluruh warga Rumah Ngaji di negeri ini terutama Rumah Ngaji Norma Din selaku tuan rumah berkorban dari segi masa dan tenaga serta sumbangan kewangan daripada sebahagian ahli Rumah Ngaji Perak untuk menjayakan Arafah #QuranHour.

"Walaupun ini kali pertama bagi Arafah #QuranHour, kita terus memberikan sokongan terhadap siri-siri #QuranHour yang lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas program Arafah #QuranHour di Surau Taman Tawas Mewah pada Rabu.

Sebahagian ahli Rumah Ngaji yang hadir sempena program Arafah #QuranHour di Surau Taman Tawas Mewah di sini pada Rabu.
Sebahagian ahli Rumah Ngaji yang hadir sempena program Arafah #QuranHour di Surau Taman Tawas Mewah di sini pada Rabu.

Sementara itu, Normah Hanum ketika ucapannya mengajak ahli Rumah Ngaji Perak untuk terus mendekati dan memahami al-Quran.

Jelasnya, ahli Rumah Ngaji perlu mengamalkan akhlak yang terkandung di dalam al-Quran sebagai contoh kepada masyarakat.

"Sepertimana visi Rumah Ngaji iaitu baca, faham dan amal, itulah yang kita ingin terapkan dalam masyarakat untuk terus bersama al-Quran.

"Tema Arafah #QuranHour kali ini memperjuangkan konsep 'Syukur Membawa Takwa'. Tanpa takwa umat Islam tidak mampu untuk lakukan dua perkara iaitu buat yang disuruh ALLAH dan tinggalkan yang dilarang oleh ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Normah Hanum yakin program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Penganjuran Arafah #QuranHour kali ini dilaksanakan Rumah Ngaji Perak dengan kerjasama Rumah Ngaji Norma Din dan Surau Taman Tawas Mewah di sini.