Hayati erti pengorbanan, eratkan perpaduan

Ibadah korban yang bukan sahaja dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH, tetapi juga memastikan umatnya sentiasa bersatu padu. - Gambar hiasan
Ibadah korban yang bukan sahaja dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH, tetapi juga memastikan umatnya sentiasa bersatu padu. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini, Arab Saudi yang menerima lebih dua juta jemaah haji akan menyambut Hari Raya Aidiladha manakala umat Islam di Malaysia akan menyambutnya pada esok hari, 29 Jun iaitu bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1444 Hijrah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadah korban yang hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah, ia membawa maksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah ALLAH.

Peristiwa yang tercatat di dalam Al-Quran, Surah As-Saffat ayat 101 hingga 111 yang mengisahkan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim AS menyembelih putera kesayangannya, Nabi Ismail AS demi mentaati perintah ALLAH SWT adalah manifestasi lambang ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba di dalam menjunjung perintah Penciptanya.

Dan pada hari ini, umat Islam di negara ini pula pada zahirnya perlu menyelami hakikat sebenar erti pengorbanan dalam konteks lebih besar yang perlu dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Sikap ingin berkorban itu tidak seharusnya setakat ketika musim perayaan semata-mata, sebaliknya perlu berterusan sepanjang masa kerana konsep pengorbanan begitu luas ertinya.

Menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang kehangatannya kini mula dirasai, kita sebagai umat Islam perlu menghayati pengertian di sebalik ibadah korban yang bukan sahaja dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH, tetapi juga memastikan umatnya sentiasa bersatu padu.

Hakikat telah membuktikan bahawa setiap kali tibanya musim pilihan raya, ukhuwah antara masyarakat berlainan parti sentiasa terhakis sehingga menimbulkan perbalahan sesama sendiri.

Jadi penghayatan sebenar pengorbanan akan dapat mengelakkan berlakunya perpecahan sekali gus memastikan martabat agama Islam terus terpelihara dan nasib umatnya akan terus terbela.

Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri bagi kebaikan masyarakat seterusnya memupuk semangat cintakan negara.

Bagi pemimpin politik yang mengepalai jentera PRN nanti pula perlu memastikan tidak menjadikan isu sensitif melibatkan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja sebagai modal berkempen kerana sedikit sebanyak isu itu dapat menghidupkan api kebencian.