Penyanyi dakwa dicabul ketika swafoto

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NILAI - Seorang penyanyi wanita mendakwa kehormatannya dicabul ketika sedang bergambar dengan seorang lelaki selepas selesai membuat persembahan di satu festival di Dataran Nilai di sini pada Ahad.

Kejadian jam 11.05 malam itu berlaku ketika mangsa yang berusia 26 tahun berada di bilik tetamu khas di belakang pentas dataran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malek Hasim berkata, mangsa telah didatangi suspek yang meminta kebenaran untuk berswafoto dengannya.

"Mangsa telah memberi kebenaran dan setelah selesai swafoto, lelaki tersebut telah menarik serta menggenggam tangan dan seterusnya mencium tangannya.

"Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa terus menjerit dan suspek kemudiannya melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, suspek berjaya ditangkap oleh pihak penganjur dan telah diserahkan kepada anggota polis yang bertugas di festival terbabit.

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.

"Suspek yang merupakan warga tempatan telah direman tiga hari bermula pada Isnin sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut," katanya.