KKR laksana 297 projek guna kaedah BIM, IBS

Nanta (tiga dari kanan) yang melihat gambar rajah Jejambat Wakaf Bharu yang siap dan dibuka pada Isnin.
Nanta (tiga dari kanan) yang melihat gambar rajah Jejambat Wakaf Bharu yang siap dan dibuka pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan 297 projek pembinaan bangunan dan jalan raya menggunakan kaedah Building Information Modelling (BIM) dan Industrial Building System (IBS) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan BIM dan IBS dalam projek-projek itu mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan selain menjimatkan kos.

“Sistem premium ini sangat membantu kerana dalam mengelakkan percanggahan reka bentuk pembinaan pada peringkat awal.

“Penggunaan BIM dan IBS membolehkan projek dilaksanakan dengan lebih lancar selain mengurangkan penglibatan tenaga buruh asing kerana lebih penggunaan teknologi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Jejambat Wakaf Bharu di sini pada Isnin.

Nanta berkata, cadangan penggunaan kedua-dua kaedah itu secara maksimum dalam sektor pembinaan mendapat kerjasama strategik antara kementerian dan agensi-agensi yang relevan.

“Kami mengadaptasi teknologi sektor pembinaan sedia ada sebanyak 85.3 peratus bagi projek awam serta 81 peratus bagi projek swasta secara BIM dan IBS.

“Saya yakin inisiatif untuk mencapai tahap adaptasi teknologi IBS dan BIM kepada 100 peratus akan tercapai menerusi sokongan padu semua pihak,” ujarnya.

Tambah beliau, projek rintis pertama BIM bagi pembangunan jalan raya yang berjaya disiapkan ialah Jejambat Wakaf Bharu dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor di Wakaf Bharu di sini sepanjang 470 meter dan mula dibuka kepada orang ramai pada Isnin.