PM bergurau tanam padi waktu malam: Dr Azman

Azman
Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar pesawah menanam padi waktu malam hanyalah gurauan, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, kenyataan itu telah disalah erti sehingga ada yang tidak dapat membezakan sama ada ia berbentuk gurauan sinis atau serius.

"Kalau takut panas, tanamlah padi waktu malam. Itu yang saya faham. Tak tahulah kalau ada maksud lain.

"Dulu, bekas Menteri Kerja Raya, Tun Dr S Samy Vellu pun pernah bergurau dengan mencadangkan angkasawan menjelajah ke matahari waktu malam kalau takut panas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PM cadang tukar waktu kerja siang kepada malam

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, kebanyakan kerja dalam industri kotor, berbahaya dan sukar 'dirty, difficult and dangerous' (3D) tidak sanggup dilakukan oleh rakyat kerana cuaca siang yang panas, justeru pekerjaan itu diserahkan kepada warga asing.

Katanya, pengambilalihan kerja ini telah menyebabkan RM60 bilion wang negara setiap tahun dibawa pulang ke negara luar kesan daripada tujuh juta warga asing yang mencari rezeki di sini dan perkara ini sekali gus merugikan dan memiskinkan Malaysia.

“Memang tugas tersebut amat berat tetapi kita akan permudah dan ringankan, kalau tak sanggup kerja berat ia mungkin diringankan dengan bantuan mesin, bahkan kerja juga boleh dilakukan dalam bangunan dan tidak terdedah kepada panas di luar dan tidak selesa.

Artikel Berkaitan:

“Kita sedang fikir sama ada boleh alih waktu kerja dari waktu siang ditukar kepada waktu malam agar tidak panas. Kerajaan mungkin akan membantu menggerakkan usaha ini dengan memasang lampu limpah di tapak-tapak industri atau perusahaan tertentu.

“Memang gelap pada waktu malam, tapi kita lihat ramai orang kaya main golf pada waktu malam dengan pemasangan lampu. Jadi tidak mustahil juga rakyat kita akan tanam padi pada waktu malam dengan pemasangan lampu, dan kita dapat selesaikan masalah panas," katanya.

Beliau berkata, mungkin ramai sukar terima tetapi lama-kelamaan akan biasakan diri dengan cara ini.

"Jadi dengan kerja pada waktu malam dengan bantuan lampu ia dapat mengurangkan tekanan bekerja dalam panas pada waktu siang,” ujarnya.