PRN Selangor: Agihan kerusi PH-BN dijangka selesai selepas Aidiladha

Amirudin (tengah) bergambar ketika hadir pada Jelajah Arus Merah Kuning N.49 DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Seri Andalas, pada Ahad. - Foto Bernama
Amirudin (tengah) bergambar ketika hadir pada Jelajah Arus Merah Kuning N.49 DUN Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Seri Andalas, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dijangka selesai selepas sambutan perayaan Aidiladha.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masih berbaki satu atau dua kerusi lagi yang belum diputuskan.

"Saya percaya (Pengerusi PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ada sesi dengan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan sudah ada peningkatan yang baik daripada jumlah kerusi keseluruhan.

"Saya harap sebaik lepas Raya Haji (Aidiladha) ini, kita dah selesaikan (pembahagian) kerusi,” katanya selepas melancarkan Jentera Perpaduan Harapan dan BN PRN Selangor Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Tapak Rakan Muda Sri Andalas, di sini, malam Ahad.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kriteria bakal calon PH-BN yang akan dipertaruhkan pada PRN Selangor tidak lama lagi, Amirudin berkata gabungan itu akan mengetengahkan calon yang berkredibiliti dan 'boleh menang’.

"Formula kami kemenangan, maknanya semua parti harus menampilkan calon (yang mempunyai) kredibiliti dan asas sokongan terhadap parti-parti yang bergabung bawah Kerajaan Perpaduan.

"Sudah pasti kami akan cuba letakkan (calon boleh menang), sebab pilihan raya kami nak menang. Kami datang sebagai penyandang dan ada rekod pencapaian tadbir negeri,” katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga berkata, beliau percaya kerjasama PH-BN adalah gabungan yang baik bagi memastikan kestabilan dalam penggal ini yang sangat getir untuk pulihkan ekonomi negara.

"Kami datang dengan rekod prestasi negeri dan juga corak pentadbiran Pakatan Harapan selama 15 tahun. Insya-Allah, rasional rakyat dengan kami, lagi pula sekarang ada sebahagian rakan dari BN yang juga berpengalaman dalam pentadbiran,” katanya.

Pada 23 Jun lepas, DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan sekali gus membuka laluan kepada PRN untuk diadakan.

Di Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan untuk mendapat majoriti mudah, parti bertanding perlu memenangi 29 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH yang bertanding menggunakan logo PKR ketika itu mendominasi negeri merah kuning apabila menang 51 daripada 56 kerusi DUN, diikuti BN dan Pas masing-masing mendapat empat dan satu kerusi. - Bernama