Mayat lelaki dengan kaki, tangan terikat ditemui dalam rumah

Lokasi mayat ditemukan dalam sebuah rumah teres berkembar dua tingkat di Pasir Pekan. (Gambar kecil: Amran)
Lokasi mayat ditemukan dalam sebuah rumah teres berkembar dua tingkat di Pasir Pekan. (Gambar kecil: Amran)
A
A
A

TUMPAT - Satu mayat dengan kaki dan tangan terikat ditemui di sebuah rumah teres berkembar dua tingkat yang sedang diubah suai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan dekat sini pada Ahad.

Mayat lelaki tanpa identiti berusia lingkungan 40-an itu ditemui kira-kira jam 3 petang oleh buruh yang membuat kerja-kerja pengubahsuaian.

Dalam pada itu, pemilik rumah yang berusia 34 tahun itu berkata, pekerjanya mengadu ada bau busuk yang datang dari tingkat atas yang disangkakan bangkai haiwan sejak Sabtu.

“Saya memberanikan diri naik ke tingkat atas menuju ke stor. Ketika membuka pintu ternampak kotoran berwarna coklat di lantai sebelum kelihatan sepasang kaki manusia.

“Saya terkejut dan segera menghubungi polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Pasukan Forensik tiba di tempat penemuan mayat.
Pasukan Forensik tiba di tempat penemuan mayat.

Menurut lelaki terbabit, kerja-kerja baik pulih rumahnya sudah dimulakan sejak setahun lalu dan dia sebelum itu ada keinginan untuk membersihkan bahagian stor tersebut bagi menempatkan beberapa lagi pekerja untuk kerja ubah suai kediamannya.

Ujarnya, walaupun masih terkejut dengan penemuan mayat itu, kerja-kerja di rumah terbabit diteruskan namun belum pasti mahu tinggal di rumah tersebut atau tidak.

“Kami masih memikirkan sama ada untuk menetap atau tidak kerana bimbang ibu bapa akan takut,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, berdasarkan keadaan mayat yang ditemui itu, berkemungkinan lelaki terbabit sudah meninggal dunia kurang daripada tiga hari.

“Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.