Ahmad Fadhli nafi pernah gelar diri ustaz

Kenyataan Ahmad Fadhli di Facebook.
Kenyataan Ahmad Fadhli di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menafikan kenyataan Exco Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hassan yang kononnya beliau memperkenalkan diri sebagai ustaz ketika terserempak di sebuah restoran di Makkah.

Ahmad Fadhli menerusi laman Facebook berkata, beliau tidak pernah memperkenalkan diri sebagai ustaz.

"Bahkan kalau saya sendiri menulis kenyataan media misalnya tak pernah tulis ‘ustaz’. Akaun FB ini pun tiada title ‘ustaz’. Soal orang nak panggil itu terpulanglah.

"Saya syak tuan tertukar orang atau ingatan bermasalah. Macam Presiden parti tuan yang menafikan ada percakapan telefon dengan cikgunya, tetapi disahkan sendiri tak lama kemudian," ujarnya pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Azrul memuat naik kenyataan di Facebook dan mendakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu adalah seorang yang angkuh.

Katanya, Ahmad Fadhli pernah memperkenalkan diri sebagai seorang ustaz apabila ditegur.

Azrul turut berkongsi petikan sebuah portal yang bertajuk 'Ahmad Fadhli juga mendakwa mereka mampu merampas Selangor kerana kerajaan sekarang cukup rapuh'.