Khabar angin Tengku Zafrul tanding DUN Kuang hanya spekulasi

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

SELAYANG - Khabar angin mengatakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang dilihat sebagai spekulasi yang ditimbulkan bagi menghangatkan suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, perkara itu dianggap tidak sahih selagi tiada pengesahan daripada UMNO pusat atau negeri.

 Datuk Hasnal Rezua Merican
Datuk Hasnal Rezua Merican

Menurutnya, setakat ini tidak ada pemimpin parti yang membawa perkara tersebut ke peringkat bahagian Selayang untuk mendapat pandangan atau rundingan.

"Saya tidak mendengar apa-apa maklumat tentang perkara ini. Ura-ura pun tak ada. Tiada asas kepada dakwaan ini kerana saya tidak dimaklumkan sama sekali tentangnya.

"Biasanya keputusan ini dibuat di peringkat atas namun sudah pasti akan merujuk ke peringkat bahagian juga bagi pemakluman atau pandangan.

"Bagaimanapun kita akui perkara ini kadang kala berlaku semasa pilihan raya namun sehingga kini saya terima maklumat tersebut jadi saya anggap ini hanya sekadar spekulasi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Tengku Zafrul bakal bertanding di Kuang selepas usaha UMNO untuk mendapat kerusi Sungai Kandis melalui rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya.

DUN Sungai Kandis milik PH dan disandang Ahmad Zawawi Ahmad Mughni.

Hasnal berkata, pihaknya enggan mengambil serius spekulasi ditimbulkan itu kerana tidak mahu menjejaskan 'tempo' gerak kerja persiapan menghadapi PRN.

"Kita tidak boleh respons kepada spekulasi dan khabar angin tetapi jika ada menerima pemakluman daripada UMNO pusat dan negeri maka Bahagian Selayang akan mempehalusi perkara ini," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Kuang adalah satu-satunya kerusi DUN dalam Parlimen Selayang yang akan diberikan kepada UMNO.

"Gerak kerja dijalankan secara berterusan dan berjalan lancar. Untuk peringkat permulaan ini, saya letak sasaran peratus menang adalah 50-50.

"Bagaimanapun saya yakin kita mampu membina kekuatan dan sokongan tersebut akan bertambah," katanya.

Untuk rekod DUN Kuang merupakan kubu kuat UMNO namun tumpas pada PRU14 selepas tsunami politik yang menyebabkan kerusi itu jatuh ke tangan PH pada 2018 yang ketika itu ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Salehuddin Amiruddin.

Bagaimanapun, Salehuddin keluar daripada Bersatu selepas kejatuhan kerajaan PH peringkat pusat sebelum menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).