Kenyataan Tony Pua ‘gegarkan’ BN

Laporan muka depan Sinar Ahad.
Laporan muka depan Sinar Ahad.
A
A
A

KENYATAAN yang dikeluarkan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkenaan menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup telah menggegarkan parti dalaman BN.

Kebanyakan pucuk pimpinan parti daripada pelbagai sayap UMNO tampil memberikan kenyataan balas terhadap isu tersebut.

Antaranya yang tampil kehadapan menegakkan keadilan parti adalah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh.

Menurut beliau, kenyataan Tony Pua dianggap biadab dan perlu dikenakan tindakan tegas oleh DAP kerana boleh menjadi punca kepada ketidakharmonian serta merobek perpaduan kaum yang sedang dibentuk.

Dalam masa sama, Wanita UMNO pula berpendapat bahawa perkara tersebut berisiko mengganggu persiapan jentera parti itu dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tambah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selaku Ketua Wanita UMNO, kenyataan itu juga boleh menjejaskan hubungan baik antara parti komponen Kerajaan Perpaduan kini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mendesak DAP supaya tidak menyenaraikan Pua sebagai calon PRN jika mahu gabungan Kerajaan Perpaduan berkekalan.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan kenyataan Pua seperti melafazkan talak tiga terhadap BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Saya pun merasa pelik. Ini mulut celupar ke mulut longkang. Kalau kita nak jadi kawan, kita tidak akan nak buruk-burukkan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu tidak akan melayan atau memberikan apa-apa reaksi terhadap sebarang kenyataan daripada pihak dalam komponen Kerajaan Perpaduan yang dilihat bertentangan dengan pendirian sebenar mana-mana parti tersebut.

Jelasnya, sekiranya sebarang reaksi balas diberikan ia menampakkan seolah-olah ia menjadi satu masalah yang utama sedangkan ia bukanlah pendirian yang telah ditetapkan oleh kepemimpinan parti terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN:

BN, Bersatu 'pakatan korup' - Tony Pua

'BN sedia jadi pembangkang, DAP boleh tinggalkan UMNO' - Isham

'Tony Pua, sila cermin diri' - Dr Akmal

Kenyataan Tony Pua bukan pendirian DAP - Anthony Loke