Nilai ringgit jatuh, PN desak Rafizi letak jawatan

Barisan kepimpinan PN yang hadir pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Sabtu.
Barisan kepimpinan PN yang hadir pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) mendesak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meletakkan jawatan selepas dikatakan gagal mengatasi masalah kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) serta ekonomi negara ketika ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keadaan nilai mata wang jatuh itu dipercayai berikutan tidak ada polisi yang dibuat untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa, Rafizi tidak tahu menguruskan formula dengan betul sebaliknya cuba menyalahkan pihak pembangkang pula.

“Minggu lepas dia cakap “wahai pembangkang-pembangkang terutamanya ketua pembangkang, ramai daripada kamu dahulu, bekas menteri yang banyak pengalaman, tolonglah nasihatkan kami”.

“Eh, dulu kau (Rafizi) pergi merata-rata kata macam-macam formula yang kau boleh lakukan. Hari ni dah nak minta tolong, dah tak tahu bagaimana nak menguruskan ekonomi, sahabat mereka daripada UMNO balun cukup-cukup. UMNO pula kata, “Rafizi engkau dah tak reti jadi menteri, engkau turun”.

“Sekarang ini, rakyat pula nak beritahu, kalau engkau dah tak reti bagaimana nak menguruskan negara ini engkau... (turun),” sambil disahut penyokong ketika berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Sabtu.

Penyokong-penyokong PN mengibar bendera parti.
Penyokong-penyokong PN mengibar bendera parti.

Ahli Parlimen Larut itu juga menambah sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, harga ringgit turun sedikit dan hanya akan meningkat jika PN kembali mentadbir negara.

“Rakyat menghadapi masalah yang begitu besar, kos sara hidup. Ikan selayang dulu harga murah, sekarang dah naik melebihi RM10, RM13, RM14, RM16, RM18. Jangan naik sampai RM20, naik RM20, kita rampas balik kerajaan Malaysia.

“Saya nak maklumkan kepada pemimpin yang ada pada hari ini, kalau kamu tidak tahu bagaimana menguruskan ekonomi negara, rakyat akan buktikan referendum (pemungutan suara rakyat berhubung dengan sesuatu dasar politik) dalam Pilihan Raya Negeri kali ini, kita mahu mereka turun dan gantikan dengan pemimpin-pemimpin PN,” ujar beliau.

Sebelum ini, UMNO Selangor menafikan mengeluarkan surat atau kenyataan mendesak Rafizi melepaskan jawatan beliau.

UMNO Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan surat itu adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan parti di negeri berkenaan.