Tingkatan Enam tidak harus terikat peraturan sekolah - PM

Anwar melambaikan tangan ke arah jurufoto semasa hadir pada program Temu Anwar di USIM hari ini. - Foto Bernama
Anwar melambaikan tangan ke arah jurufoto semasa hadir pada program Temu Anwar di USIM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - [DIKEMAS KINI] Tingkatan Enam di negara ini tidak seharusnya terikat sangat dengan peraturan sekolah, sebaliknya diberi sedikit kelonggaran walaupun berada di kawasan persekolahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, suasana Tingkatan Enam harus diubah kerana ia sebenarnya merupakan pascasekolah seperti Matrikulasi berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima.

"Saya akan bawa ke Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya Tingkatan Enam itu tidak dilayan seperti sekolah, budaya, suasananya itu. Saya setuju sebab saya pun ikuti Tingkatan Enam.

"Tingkatan Enam, kita perlu tentukan kaedah supaya cara guru melayani (pelajar) dan suasana yang perlu diberi banyak ruang untuk mereka lebih bebas, berinteraksi dan tidak seperti peraturan sekolah,” katanya pada Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, ramai pelajar Tingkatan Enam telah mengeluh mengenai peraturan dan budaya serta mengusulkan agar ia diubah pada sesi dialog sebelum ini.

Mengulas mengenai cadangan untuk menukar kurikulum Tingkatan Enam daripada kaedah semester, Anwar berkata, perkara tersebut harus dibincangkan oleh pakar-pakar pendidikan termasuk guru dan pelajar.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta pimpinan universiti agar merombak kurikulum berkaitan cabang ilmu baharu seperti Teknologi Digital, kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) dengan cepat mengikut perubahan semasa jika Malaysia ingin menjadi negara kelas pertama.

"Ia tidak boleh tunggu Convention Board of Studies, tunggu dua tahun kajian dan bawa ke Senat. Tidak boleh. Perubahan harus cepat dan pantas," katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman mengajar di Universiti Oxford dan Universiti Georgetown, Washington, beliau berkata, kepantasan mereka dalam transformasi pendidikan begitu cepat.

Selain itu, beliau berkata, latihan daripada pihak industri juga diperlukan supaya tidak berlaku ketakserasian dan tidak terlalu bergantung pada kurikulum lama sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran.

"Sebab itu, TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sekarang Petronas ambil sebahagian TVET di Batu Rakit, Kimanis dan Pengerang; Proton ambil alih TVET di Pekan dan beberapa syarikat besar lain ambil alih," katanya.

Beliau juga memberitahu graduan negara ini mempunyai kemahiran yang luar biasa, justeru kerajaan akan memastikan kapasiti turut meningkat agar selari dengan keperluan industri.

Sementara itu menjawab tentang pengangguran, Anwar berkata, memang terdapat penurunan kadar pengangguran di negara ini tetapi bukan bermakna masalah pengangguran selesai terutamanya melibatkan siswazah.

Justeru kata Anwar, pelaburan kena masuk, kerajaan mesti stabil dan dasar juga perlu jelas untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengurangkan tekanan masalah pengangguran.

"Cara penyelesaiannya, kerajaan perlu mencari jalan mendapat pelaburan, contohnya Geely (Syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, ia membuka peluang 4,000 pekerjaan, dalam pertemuan kita bersama Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Petronas, kita diminta diberi sedikit latihan tambahan.

"Mengikut (respons) Amazon dan Geely, kita mempunya tenaga kerja yang mahir cuma peringkat tertinggi, kemahiran itu masih ada kekurangan. Saya ada berbincang dengan Menteri KPT (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) untuk mengetahui apa yang diperlukan oleh syarikat ini," katanya.

Menjawab soalan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya diperbanyakkan stesen pengecasan bagi penggunaan kenderaan elektrik EV, Anwar berkata, sebaik sahaja ada pengeluaran EV yang banyak maka kesediaan dari segi stesen pengecasan itu akan ditingkatkan.

"Itu dipanggil transisi tenaga, pada Isnin ini Petronas akan mengadakan satu persidangan antarabangsa yang besar dan di situ saya akan memberikan beberapa gagasan utama tentang dasar kita mengenai transisi tenaga di Malaysia termasuk soal EV," katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Sarawak antara negeri paling tangkas dalam membuat rencana mendepani isu digital, penggunaan hidrogen dan EV. - Bernama