Bertanding secara anak jantan hanya pemanis bibir - Mahdzir

Mahdzir (depan, dua dari kanan) bersama ahli UMNO di Pejabat UMNO Pendang pada Jumaat.
Mahdzir (depan, dua dari kanan) bersama ahli UMNO di Pejabat UMNO Pendang pada Jumaat.
A
A
A

PENDANG - Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar setiap parti bertanding secara anak jantan tanpa menggunakan dana dan harta kerajaan disifatkan sebagai pemanis bibir semata-mata.

Katanya, adalah mustahil apabila seseorang dalam kerajaan langsung tidak menggunakan harta kerajaan.

Tambah Mahdzir, rakyat ketika ini tidak perlu dimomokkan secara berlebihan dengan perkara yang tidak sepatutnya.

"Kalau dah jadi kerajaan hang (kamu) cerita lah kut mana pun kan, yang itu dia panggil 'lips decoration' atau pemanis mulut sajalah. Satu dunia tahu kalau dah jadi kerajaan itu, kut mana hang (kamu) tak guna? Guna jugalah.

"Saya ingat kita tak payah cerita fasal yang terlalu nak perasing-perasing (asing) kerajaan. Kita masuk pilihan raya, kita kerajaan federal, kamu kerajaan negeri, kita profesional," katanya ketika ditemui selepas taklimat persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di Pejabat UMNO Pendang di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pemimpin politik perlu bijak dalam mengawal emosi dan tidak berpolitik dengan kaedah yang ekstrem.

"Kaedah politik ekstrem yang melampau ini kita tak perlu guna. Kita pergi kepada naratif rakyat sebab 65 tahun daripada awal merdeka, rakyat dah ada pendidikan yang diberi oleh UMNO dan Barisan Nasional.

"Tak payahlah duk buruk orang terlampau hari-hari, cuma kita cerita lah apa yang kita nak buat. Seperti dah jadi satu kegemaran pula mengata orang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, pihaknya yakin pengundi sudah berada pada naratif yang jelas selepas terkeliru membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Katanya, kekeliruan itu berlaku disebabkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika itu merupakan parti yang menjadi kerajaan.

"Kita pun tak boleh salahkan depa (mereka) jugalah pada waktu itu tapi hari ini sangat jelas. Di Putrajaya (ada) BN dan Pakatan Harapan (PH), Di sini PN (iaitu) Pas dan Bersatu yang jadi pembangkang. Sebab itu saya guna tagline kalih bagi sama," katanya.