[VIDEO] Bekas calon BN didakwa 77 tuduhan perdaya jual tanah, rumah

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - [DIKEMAS KINI] Bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas 77 pertuduhan memperdaya mangsa berhubung jual beli tanah dan rumah yang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM350,000.

Hamidah Muhamad, 47, yang mewakili parti Makkal Sakti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di kamar berasingan.

Bagi 38 pertuduhan pertama, bekas Ketua Wanita Makkal Sakti Bahagian Taiping itu didakwa menipu dua pengetua dan dua guru dengan memperdaya mereka membeli sebuah rumah dan sebidang tanah di Mukim Assam Kumbang, Taiping hingga mendorong mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap Faridah Salleh bersama dua beradik perempuan, Razhiyah Salleh dan Robiah Salleh serta seorang lagi Efendi Zainuddin antara tahun 2021 hingga 2022 melibatkan kerugian lebih RM200,000.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Prabakaran dan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khoo Thean Heng.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Sementara itu, di kamar berasingan, ibu kepada empat anak itu didakwa atas 39 pertuduhan memperdaya Faridah Salleh bersama dua beradik perempuan, Razhiyah Salleh dan Robiah Salleh menggunakan modus operandi sama dengan nilai kerugian keseluruhan dialami mangsa lebih RM150,000.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun.

Nur Atiqah turut menetapkan wang jaminan RM12,000 dengan dua penjamin selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Peguam S Singaradivel dalam rayuannya memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mengalami pelbagai masalah kesihatan dan perlu mengambil 32 pil ubat dalam sehari.

"OKT (orang kena tuduh) merupakan suri rumah dan ketika ini ada menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selain mempunyai kanser di kepala dan tulang belakang," katanya.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 31 Julai depan.

Pada PRU15 lalu, Hamidah yang pertama kali bertanding tewas kepada calon DAP, Cheah Pou Hian dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti kerusi 21,111 undi.