Pembeli dakwa ditipu sindiket kontraktor banglo, rugi RM1.8 juta

Che Din (kanan) dan Ahmad Fuad menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pembinaan rumah.
Che Din (kanan) dan Ahmad Fuad menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas didakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pembinaan rumah.
A
A
A

MELAKA - Impian lapan pembeli rumah untuk memiliki rumah baharu musnah selepas ditipu sindiket kontraktor didakwa didalangi bekas calon kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Che Din, 50, berkata, dia ternampak iklan tawaran untuk membina rumah banglo mewah pada harga RM585,000 di media sosial Facebook pada April tahun lalu.

Menurutnya, disebabkan tertarik dia kemudian membuat bayaran sebanyak RM15,000 bagi tujuan dokumentasi dan pelan di tapak projek banglo di Muar, Johor pada 29 Julai tahun yang sama.

"Kerana berminat saya membuat bayaran seperti diminta dan menandatangani surat perjanjian kontrak pembinaan.

"Namun selepas itu, saya didesak membayar RM230,000 sebulan untuk mengelakkan kenaikan kos binaan, ketika itu saya mula rasa curiga," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, selepas bayaran dibuat, pihak syarikat itu hanya menolak tanah di kawasan tapak binaan untuk mengaburi mata.

"Sejak itu pelbagai alasan diberikan termasuk memberitahu pengarah projeknya sedang sibuk berkempen pada PRU15 atas tiket calon bebas bagi kerusi Parlimen di Sabah.

"Tapi sehingga kini mereka semua gagal dihubungi," katanya pada sidang akhbar di Bukit Beruang di sini, pada Jumaat.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Fuad, 38, berkata,dia mengalami kerugian RM15,000 selepas membuat bayaran yuran khidmat pelan binaan rumah yang gagal disiapkan dalam tempoh tiga bulan seperti dijanjikan.

Menurutnya, dalam tempoh itu pegawai pemasaran syarikat itu masih gagal mengemukakan sebarang perkembangan sehingga November lalu.

"Saya berasa ditipu sehingga Januari lalu saya dihubungi tujuh lagi mangsa syarikat sama mendakwa telah ditipu.

"Lebih sedih ia membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.8 juta," katanya.

Tambahnya, beberapa laporan polis juga telah dibuat memandangkan ada diantara mangsa mengalami kerugian antara RM190,000 hingga RM300,000.