Pemilik Chelsea lebar sayap ke Perancis

Boehly - Foto Agensi
Boehly - Foto Agensi
A
A
A

PEMILIK Chelsea dari Amerika Syarikat (AS) melebarkan sayapnya ke Perancis apabila memeterai perjanjian pembelian kelab Ligue 1, Strasbourg.

Pembelian menerusi konsortium BlueCo itu menjadi episod baharu dalam sejarah Strasbourg sebagai strategi dinamik bagi memantapkan pertumbuhan kelab.

"Konsortium komited untuk mempercepatkan pelaburan mampan dalam pertumbuhan kelab.

"Pembelian ini termasuk pasukan utama dan akademi dalam kesinambungan projek yang dilaksanakan oleh Marc Keller yang akan kekal sebagai pengerusi kelab.

"Keller akan disokong oleh pasukan pengurusannya sekarang," ujar konsortium Blue Co dalam satu kenyataan.

Konsortium yang diketuai oleh ahli perniagaan Amerika, Todd Boehly dan Clearlake Capital yang berpangkalan di AS mengharungi tahun pertama yang mengecewakan di Stamford Bridge.

Mereka memecat pengurus Thomas Tuchel dan Graham Potter sebelum menamatkan kempen yang menyedihkan di bawah bos sementara Frank Lampard.

Kedudukan Chelsea di tempat ke-12 adalah yang terburuk sejak 1994 walaupun membelanjakan lebih daripada 500 juta pound (RM2.9 bilion) untuk pemain baharu ketika dua jendela perpindahan pertama di bawah pemilik baharu.

Konsortium itu telah mengambil Mauricio Pochettino sebagai jurulatih baharu mereka.

Boehly juga adalah pemilik bersama pasukan besbol Los Angeles Dodgers.

Strasbourg melalui musim yang getir tahun lalu, apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-15 dua anak tangga daripada zon penyingkiran.