Malaysia di kedudukan ke-27 World Competitiveness Yearbook 2023

Kenyataan Noor Azlan di laman Facebook pada Khamis.
Kenyataan Noor Azlan di laman Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan World Competitiveness Yearbook 2023 terbitan Pusat Daya Saing Dunia, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) meletakkan daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-27, meningkat lima anak tangga berbanding tahun 2022.

Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, di sebalik peningkatan daya saing 2023 berbanding tahun 2022, trend untuk kembali ke tahap terbaik yang pernah capai sebelum ini masih samar.

Katanya, banyak lagi usaha yang diperlukan untuk Malaysia kembali ke liga belasan di dunia.

"Terkini, dari 20 sub-kategori yang dinilai hanya enam yang berada di kedudukan 20 terbaik dan 11 daripadanya berada di tangga 30 ke bawah.

"Kesimpulannya, untuk tahun 2023, walaupun kedudukan Malaysia meningkat dari tangga ke-32 ke tangga 27, Malaysia masih berada dalam julat penarafan yang rendah," jelasnya menerusi laman Facebook pada Khamis.

Beliau memberi contoh kategori pendidikan dan perundangan perniagaan, kedudukan Malaysia sangat rendah, iaitu di tangga ke-45 sedangkan kedua-dua kategori itu adalah antara faktor utama dalam memastikan daya saing negara kukuh.

"Kedudukan Malaysia dalam Kecekapan Perniagaan telah jatuh merudum berbanding sepuluh tahun yang lalu.

"Di mana silap kita? Mesti dikenalpasti dan ditangani segera," ujarnya.

Tambah Noor Azlan, peningkatan kedudukan daya saing negara 2023 adalah satu petanda awal yang baik.

"Namun, belum masa untuk kita berpuas hati dan menjadikannya sebagai bukti kita telah berjaya. Penilaian yang lebih mendalam menyedarkan kita bahawa Malaysia masih berada dijulat daya saing global yang rendah.

"Oleh itu, semua pihak mesti komited untuk bersama mengembalikan kekuatan daya saing global negara. Kita semua juga akan merasai manfaatnya," jelasnya.