Suami isteri terkandas di Teluk Tongkang diselamatkan

Anggota APM membawa mangsa yang diselamatkan menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
Anggota APM membawa mangsa yang diselamatkan menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUANTAN - Pasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila terkandas di kawasan berbatu Teluk Tongkang ekoran air pasang pada Khamis.

Mangsa lelaki berusia 38 tahun dan isterinya, 36, berjaya diselamatkan dengan bantuan anggota penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan, Kapten (PA) Saifu Nizam Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan mangsa terkandas itu pada jam 2.50 petang.

"Susulan maklumat, tiga anggota penyelamat APM yang berada di Pantai Teluk Chempedak segera ke lokasi menggunakan sebuah bot untuk bantuan menyelamat.

"Pasangan suami isteri itu berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini," katanya.