PRN: PN tanding semua 245 kerusi DUN di enam negeri

Muhyiddin (dua dari kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan Mesyuarat Majlis Presiden PN pada Khamis.
Muhyiddin (dua dari kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan Mesyuarat Majlis Presiden PN pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) sahkan akan bertanding di kesemua iaitu 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) meliputi Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah itu, Pas akan bertanding 126 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 83 kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebanyak 36 kerusi.

"Jumlah kerusi baharu bukan penyandang bakal ditandingi oleh anggota PN sejumlah 64 kerusi, Pas (50) dan Gerakan (36).

"PN ingin memaklumkan jentera pilihan raya di peringkat negeri-negeri ketika ini adalah pada tahap tertinggi.

"Jentera kami juga komited dalam gerak kerja menghadapi PRN dalam mempertahankan tiga negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah) dan menawan 3 negeri (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar khas sempena Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan Mesyuarat Majlis Presiden PN di sini pada Khamis.

Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dan kepimpinan tertinggi PN.

Sementara itu, ditanya sama ada wujud senarai nama 'kejutan' yang akan mewakili gabungan itu pada PRN di enam negeri berkenaan, Muhyiddin menjelaskan kesemua calon-calon terdiri daripada mereka yang sememangnya telah mempunyai nama besar.

"Nama yang ada semuanya besar-besar belaka. Sebahagian besar, mereka yang sudah pegang kerusi-kerusi (penyandang).

"Bagi senarai nama calon pula ia akan dikemukakan di peringkat negeri masing-masing," katanya.

Tambahnya, seperti amalan yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, calon yang tersenarai juga akan melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut memaklumkan, calon PRN mewakili PN di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo Pas.

Jelasnya, di empat negeri lain pula memutuskan untuk menggunakan logo PN.