Aktiviti fizikal kanak-kanak, remaja tidak memuaskan tahun lalu

Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang melaporkan status terkini mengenai penunjuk aktiviti fizikal dan kesihatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun menunjukkan pencapaian tidak memuaskan dengan gred D tolak (D-). - Gambar hiasan
Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang melaporkan status terkini mengenai penunjuk aktiviti fizikal dan kesihatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun menunjukkan pencapaian tidak memuaskan dengan gred D tolak (D-). - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang melaporkan status terkini mengenai penunjuk aktiviti fizikal dan kesihatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun menunjukkan pencapaian tidak memuaskan dengan gred D tolak (D-).

Kad laporan itu dilancarkan pada Khamis oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Active Healthy Kids Global Alliance (AHKGA) dan Sun Life Malaysia.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan UKM yang juga pengerusi Active Healthy Kids Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Razif Shahril berkata, tindakan segera perlu diambil semua pihak termasuk ibu bapa dan komuniti dalam usaha meningkatkan tahap aktiviti fizikal golongan itu di negara ini.

"Tindakan segera diperlukan dan saya percaya ia adalah tanggungjawab bersama pelbagai agensi, institusi, badan bukan kerajaan termasuk ibu bapa dan keluarga untuk meningkatkan status aktiviti fizikal generasi masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad laporan tersebut oleh Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur) Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid di sini.

Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang dihasilkan adalah merujuk data yang dikumpul daripada tinjauan kebangsaan dan laporan kerajaan dari 2016 hingga 2022.

Ia juga dihasilkan merujuk kepada 12 penunjuk antaranya aktiviti fizikal keseluruhan, penyertaan dalam sukan terancang dan aktiviti fizikal, permainan aktif, pengangkutan aktif, tingkah laku sedentari, sekolah, kerajaan, diet dan sebagainya.

Menurut Mohd Razif, Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 adalah kad laporan yang kedua selepas yang pertama dihasilkan pada 2016 menerusi Active Healthy Kids Malaysia, iaitu kumpulan penyelidikan UKM.

"Tahun 2016 adalah kali pertama Malaysia menyertai AHKGA Global Matrix 2.0, namun dukacitanya, kebanyakan gred dalam kad laporan 2022 adalah hampir sama dengan gred kad laporan 2016 yang memberikan gambaran tiada penambahbaikan pada penunjuk aktiviti fizikal.

"Pada kali ini (Global Matrix 4.0), apabila dibandingkan dengan 57 negara lain, Malaysia menduduki tangga ke-34 berbanding negara lain, iaitu pencapaian gred aktiviti fizikal secara keseluruhannya D-,” katanya.

Mohd Razif berkata, pencapaian gred D- yang berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mencatatkan hanya satu daripada lima remaja (19.8 peratus) berumur 13 hingga 17 tahun dilaporkan aktif secara fizikal sekurang-kurangnya 60 minit sehari selama lima hari atau lebih dalam seminggu.

"Daripada kad laporan juga, untuk diet, Malaysia mendapatkan skor D- iaitu hanya 23.5 peratus remaja berumur dalam lingkungan yang sama mencapai hidangan harian buah-buahan dan sayur-sayuran yang disarankan.

"Namun secara positifnya, sekolah di Malaysia menerima gred A tolak untuk akses tetap kepada kemudahan dan peralatan yang menyokong aktiviti fizikal,” katanya.

Beliau mengharapkan dengan tindakan segera yang diambil mungkin dapat menghasilkan pencapaian aktiviti fizikal kanak-kanak dan remaja yang baik apabila Malaysia menyertai AHKGA Global Matrix 5.0 pada 2026.

Sementara itu, Hanafiah berkata, penghasilan kad laporan tersebut merupakan penanda aras bagi negara, iaitu sejajar dengan hasrat UKM menjadi sebuah universiti memfokuskan kepada penyelidikan bersifat komprehensif.

"UKM sangat menyokong keberhasilan kad laporan aktiviti fizikal ini. UKM komited dalam menyokong ekosistem penyelidikan bersifat translasi. Pada tahun ini, lebih RM1 juta diperuntukkan bagi geran bersifat translasi.

"UKM mempunyai penyelidik hebat yang sering menempa kejayaan penyelidikan dalam bidang masing-masing. Hasilnya, pelbagai geran antarabangsa, geran industri dan geran kebangsaan berjaya diperoleh antaranya adalah geran bagi projek kad laporan ini yang telah disumbangkan Sun Life Assurance Company of Canada,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng berkata, syarikat insurans dan tafakul berkenaan berbangga untuk menyokong kad laporan itu kerana topik tersebut sejajar dengan tujuan perniagaan mereka dalam membantu orang ramai mencapai keselamatan kewangan seumur hidup dan menikmati kehidupan yang lebih sihat.

"Kami berharap dapat menyumbang kepada keseluruhan hasrat AHKGA untuk menggalakkan gaya hidup sihat kanak-kanak menerusi kepimpinan pemikiran, pembangunan kapasiti, advokasi dan kesedaran.

"Di Sun Life, kami percaya bahawa masa depan yang mampan bergantung kepada generasi muda yang sihat dan berdaya tahan. Kami percaya bahawa penemuan daripada kad laporan itu akan membantu pihak berkepentingan, penggubal dasar, pendidik malah ibu bapa mengenal pasti cara yang lebih berkesan untuk menggalakkan anak muda mengamalkan tabiat hidup sihat,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penemuan kad laporan tersebut boleh layari laman sesawang http://activehealthykids.org.my - Bernama