Nelayan Vietnam tumpas selepas dua jam dikejar APMM

Rashidilhadi (kanan) dan pegawainya mrnunjukkan rawai yang dirampas dari salah sebuah bot yang ditahan.
Rashidilhadi (kanan) dan pegawainya mrnunjukkan rawai yang dirampas dari salah sebuah bot yang ditahan.
A
A
A

KEMAMAN - Taktik terbaharu nelayan asing untuk merompak hasil laut negara dengan menangkap ikan di sekitar sempadan Malaysia-Vietnam berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas penahanan enam bot nelayan Vietnam.

Pengarah APMM Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, enam bot yang dinaiki seramai 37 tekong dan awak-awak itu didapati memasuki perairan negara ini secara serentak dan disyaki mahu menangkap sotong.

Beliau berkata, kesemua bot itu dipercayai mengubah modus operandi ekoran penguatkuasaan berterusan yang dilakukan APMM Malaysia yang membawa kepada banyak tangkapan bot perairan Vietnam di perairan negara kebelakangan ini.

Katanya, nelayan Vietnam itu menukar modus operandi untuk memudahkan mereka meloloskan diri daripada ditahan penguat kuasa jika kehadiran mereka disedari.

"Sekarang mereka hanya berani tangkap di kawasan sempadan sahaja, namun helah licik ini tetap dapat kita patahkan selepas tertangkapnya enam bot Vietnam ini.

"Ketika mahu ditahan, keenam-enam bot berkenaan cuba melarikan diri dan selepas dua jam dikejar mereka berjaya diberkas," katanya pada sidang media di Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, kesemua bot yang dinaiki tekong dan awak-awak berusia 21 hingga 60 tahun itu ditahan dalam jarak sekitar 154 hingga 160 batu nautika timur laut Kuala Kemaman pada Selasa lalu.

Menurutnya, keenam-enam bot itu ditangkap di sekitar kawasan cari gali minyak negara yang berdekatan sempadan perairan Malaysia-Vietnam oleh kapal ronda KM Pekan yang dinaiki 40 kru.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi pemeriksaan yang dibuat kita berjaya merampas sebanyak 90 kilogram (kg) ikan, 18 kg sotong kering, diesel sebanyak kira-kira 600 liter dan peralatan menangkap ikan.

"Keseluruhan hasil rampasan termasuk nilai bot dianggarkan berjumlah RM3 juta," kata beliau.

Tambahnya, kesemua bot dan hasil rampasan bersama nelayan-nelayan itu dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman semalam untuk siasatan lanjut.

Kata Rashidilhadi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan, Seksyen 8(a) akta sama kerana bot beroperasi tanpa lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.