Video antirasuah murid istimewa

Empat murid kelas pemulihan khas SK Kampung Banyok, Sibu menghasilkan video khas sempena Program Bicara Cilik Rasuah Busters Sabtu ini.
Empat murid kelas pemulihan khas SK Kampung Banyok, Sibu menghasilkan video khas sempena Program Bicara Cilik Rasuah Busters Sabtu ini.
A
A
A

MESKIPUN tidak menyertai secara langsung Program Bicara Cilik Rasuah Busters namun murid-murid kelas pemulihan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Banyok, Sibu di Sarawak tetap mengambil inisiatif dalam usaha menyampaikan mesej antirasuah.

Guru Besarnya, Masjuwita Mohamad Rejeni berkata, empat murid dan enam guru menghasilkan sebuah video untuk dipersembahkan ketika program berkenaan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Pihaknya turut teruja dan bangga dengan penglibatan anak-anak kelas pemulihan khas yang bersungguh-sungguh dalam memahami kewajaran menentang rasuah dan keburukannya.

“Kesungguhan guru pemulihan kami membuktikan kemenjadian murid pemulihan khas SK Kampung Banyok, Sibu menerusi penghasilan video tersebut.

Penghasilan video berdurasi dua minit sembilan saat ini mengambil masa selama tiga jam untuk disiapkan dan pelbagai mesej antirasuah dipaparkan dalam video berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Video khas sempena Program Bicara Cilik Rasuah Busters menampilkan murid Tahun Lima, Nicholas Raweind Minggu dan tiga murid Tahun Dua iaitu Valentino Alvin Minggu, Syahkir Adam Yang serta Abigail Helen William Tony.

Masjuwita (berdiri kanan) bersama guru-guru sekolahnya, Audry (berdiri kiri), Deri Klimit (berdiri tengah), Mohd Rezel (duduk kiri), Ling Yew Hing (duduk tengah) dan Shahbandi Abdul Han.
Masjuwita (berdiri kanan) bersama guru-guru sekolahnya, Audry (berdiri kiri), Deri Klimit (berdiri tengah), Mohd Rezel (duduk kiri), Ling Yew Hing (duduk tengah) dan Shahbandi Abdul Han.

Mereka dibimbing oleh Guru Pemulihan, Audry Mengan Jackson Bundan.

Masjuwita berkata, setiap individu harus menyedari keburukan rasuah kepada diri dan masyarakat.

“Ia perlu dipupuk kepada anak-anak di awal usia sekolah rendah. Penglibatan dalam Program Bicara Cilik Rasuah Busters ini membuktikan murid pemulihan khas juga mampu menjadi wadah dalam membanteras gejala rasuah.

“Seharusnya mereka yang telah terlibat dengan rasuah mendapat pengajaran daripada mesej yang disampaikan. Jika anak pemulihan khas ini mampu memberi kesedaran antirasuah, mengapa tidak mereka yang mempunyai kesempurnaan kurniaan ALLAH berfikir tentang keburukan rasuah,” katanya.

Program Bicara Cilik Rasuah Busters akan disertai 19 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah dengan penglibatan seramai 29 murid lelaki, 29 murid perempuan serta 92 guru pembimbing seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 10 tajuk bakal dikupas oleh pembentang cilik antaranya, Kenali Rasuah dan Punca Rasuah, Kesan Rasuah Kepada Ekonomi, Kesan Rasuah Kepada Institusi Sosial, Kesan Rasuah kepada Politik, Cara-cara menangani rasuah, Pandangan Agama Terhadap Amalan Rasuah, Kajian terhadap kes rasuah di Malaysia, Huraian terhadap kesalahan rasuah di Malaysia dan Apakah Rasuah Busters?

Program itu dijangka berlangsung secara atas talian bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan boleh ditonton menerusi saluran YouTube SKKB Ts25 (TV SK Kg Baharu Sekolah Transformasi 2020-2025) dan di Facebook Rasuah Busters dan Sinar Bestari.

Bicara Cilik Rasuah Busters yang dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Kg Baharu, Jerantut di Pahang dengan kerjasama Rasuah Busters akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.