Penantian untuk lantik PM baharu Thai hampir berakhir

Kedua-dua dewan Parlimen dijadualkan bersidang sebelum tarikh 4 Julai iaitu kira-kira 15 hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum pada Isnin lalu. - Foto Agensi
Kedua-dua dewan Parlimen dijadualkan bersidang sebelum tarikh 4 Julai iaitu kira-kira 15 hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum pada Isnin lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Gabungan parti prodemokrasi yang menyapu bersih Pilihan Raya Umum Thailand pada bulan lalu mendakwa mereka hampir memperoleh jumlah sokongan diperlukan daripada Senat untuk menubuhkan kerajaan pimpinan Pita Limjaroenrat.

Perikatan terdiri daripada lapan parti itu memaklumkan terdapat ‘kemajuan positif’ dalam usaha meraih sokongan senator yang dilantik tentera untuk melepasi 376 undi yang diperlukan bagi melantik Perdana Menteri.

“Lebih ramai senator memberikan lampu hijau dan kita semakin hampir mencapai sasaran,” kata Timbalan Ketua Parti Move Forward (MFP), Sirikanya Tansakun pada Selasa.

Difahamkan, Pita, 42, memerlukan sokongan kira-kira 64 lagi ahli Parlimen untuk mencapai jumlah yang diperlukan.

Perkembangan itu dijangka meredakan kebimbangan pelabur terhadap kebuntuan politik yang berpanjangan di Thailand.

Kedua-dua dewan Parlimen dijadualkan bersidang sebelum tarikh 4 Julai iaitu kira-kira 15 hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum pada Isnin lalu.

Satu lagi sesi bersama akan diadakan pada 13 Julai depan untuk memilih Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Prayut Chan-o-cha.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Parti Pheu Thai, Phaophum Rojanasakul berkata, parti tersebut bersama MFP yang merupakan gabungan terbesar belum mencapai persetujuan untuk memilih calon yang bakal memegang jawatan Speaker Parlimen.

Walaupun Pita telah disahkan secara rasmi sebagai ahli Parlimen pada awal minggu lalu, beliau masih berdepan siasatan oleh badan pilihan raya berhubung dakwaan pemilikan saham media dan potensi aduan baharu yang mungkin akan menyebabkannya hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri.

Pita yang berdepan laluan berliku untuk mengembalikan demokrasi seperti dituntut rakyat bagaimanapun yakin segala rintangan dihadapinya sejak beberapa minggu lalu tidak akan menghalangnya untuk mengambil alih kepimpinan di negara itu. - Agensi