Lagi penumpang pesawat Korea mahu buka pintu pesawat

Tindakan pantas beberapa penumpang menghalang individu itu berjaya menyelamatkan nyawa yang lain. - Foto Agensi
Tindakan pantas beberapa penumpang menghalang individu itu berjaya menyelamatkan nyawa yang lain. - Foto Agensi
A
A
A

SEOUL - Pihak berkuasa di Korea Selatan menahan seorang remaja yang cuba membuka pintu pesawat Jeju Air di tengah-tengah penerbangan pada Isnin yang merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan di negara itu.

Agensi berita Yonhap melaporkan individu itu bagaimanapun gagal melakukan tindakan berani mati itu dan kesemua 180 penumpang disahkan selamat.

“Lelaki berusia 19 tahun itu mula berkelakuan pelik selama kira-kira sejam ketika pesawat itu dalam perjalanan dari Cebu, Filipina ke bandar Incheon yang bersempadan dengan ibu kota Seoul.

“Pada mulanya, dia mengadu mengalami tekanan pada dadanya. Kru penerbangan menawarkan kepadanya untuk berpindah tempat duduk. Namun, ia gagal menenangkan remaja itu yang cuba membuka pintu pesawat secara tiba-tiba,” jelas laporan itu lagi.

Difahamkan, kru bersama beberapa penumpang bertindak pantas menghalang individu tersebut sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

Siasatan awal mendapati remaja itu hilang pekerjaan dan tinggal di Cebu selama sebulan.

Salah seorang penumpang mendakwa dia turut mengugut mahu membuka pintu pesawat supaya semua orang mati.

Pada bulan lalu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bertindak ‘berani mati’ apabila membuka pintu kecemasan Asiana Airlines, beberapa minit sebelum ia mendarat di bandar Daegu dan turut menyebabkan sembilan penumpang mengalami kesukaran bernafas. - Agensi