KJ pertahan Rafizi

Khairy Jamaluddin, Rafizi
Khairy Jamaluddin, Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketiadaan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semasa mesyuarat hala tuju ekonomi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bukan satu isu, kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, meskipun Rafizi memegang portfolio tertinggi dalam kementerian berkenaan, namun ia bukan syarat buat beliau untuk hadir ke dalam semua perbincangan.

“Meskipun beliau (Rafizi) tiada, namun Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya, Datuk Nor Azmie Diron hadir dalam mesyuarat berkenaan.

“Anwar dan Rafizi pun sebenarnya masih ada masa lain untuk bertukar pandangan iaitu semasa Mesyuarat Kabinet Menteri dan juga Mesyuarat Tindakan Ekonomi,” kata beliau dalam Program Keluar Sekejap, pada Rabu.

Program tersebut dikelolakan beliau bersama Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Baru-baru ini, Anwar mengadakan perbincangan berkaitan hala tuju ekonomi negara yang disertai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani dan juga pakar ekonomi lain.

Bagaimanapun, ketiadaan Rafizi dalam mesyuarat tersebut dan kehadiran Khairy Jamaluddin menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

Susulan desas desus tersebut, Khairy Jamaluddin dalam rancangan sama menafikan mesyuarat itu mempunyai kaitan dengan sebarang agenda politik.

Jelasnya, perbincangan tersebut sememangnya memfokuskan tentang masalah hala tuju ekonomi negara.

“Saya hadir kerana kapasiti saya yang merupakan bekas Menteri Kesihatan dan juga seorang pemikir. Jadi, ia merupakan satu khidmat kepada negara sebenarnya,” kata beliau.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut memuji Anwar yang disifatkan sangat terbuka dengan pelbagai pandangan semasa mesyuarat berkenaan.