Kenderaan rasmi MB, Exco NS diserah selepas penamaan calon

 Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan akan memulangkan semula kenderaan rasmi kepada kerajaan negeri selepas hari penamaan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun penggunaan kenderaan itu dibenarkan untuk tujuan rasmi.

"Kami masih lagi 'caretaker' kerajaan yang menjalankan tugas rasmi, Exco pun ada tugas rasminya dan kalau ikutkan boleh guna lagi kenderaan termasuk pemandu hingga hari terakhir.

"Itu antara kita bincang tadi, pada dasarnya kita tidak mahu menimbulkan prasangka buruk

"Antara perkara lain yang dinasihatkan pegawai undang-undang ialah tidak boleh berkempen, tidak boleh berjanji, contohnya akan luluskan projek dan sebagainya, sekiranya ia ada dalam manifesto (lulus projek) tiada masalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini pada Rabu.

Pada Selasa media melaporkan, Aminuddin akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 28 Jun ini bagi mendapat perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi PRN.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu memaklumkan DUN akan dibubar pada 30 Jun.

Turut mengadakan PRN tidak lama lagi ialah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan kesemua 20 ADUN Pakatan Harapan (PH) di negeri ini masih berminat untuk bertanding dalam PRN.

"Setakat ini kesemua ADUN kita masih berminat untuk menjalankan tugas dan ingin bekerja, namun dapat atau tidak terpulang kepada keputusan pucuk pimpinan parti masing-masing," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan 500,000 pengunjung hadir pada Program NS Fest 2023 yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis di Dataran Nilai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!