Kantoi seludup 1.5 tan benih kerang

Benih kerang 1.5 tan yang cuba diseludup oleh seorang warga tempatan ke negara jiran pada Selasa. - Foto Maritim
Benih kerang 1.5 tan yang cuba diseludup oleh seorang warga tempatan ke negara jiran pada Selasa. - Foto Maritim
A
A
A

ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang lelaki warga tempatan yang cuba menyeludup 1.5 tan benih kerang ke Thailand pada jarak 0.5 batu nautika timur pesisir Padang Keria, Sanglang pada petang Selasa.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, tangkapan dilakukan pada jam 4.14 petang bersama sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang membawa benih kerang bernilai RM10,000.

Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh bot ronda milik Maritim Malaysia semasa melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.

"Bot fiber berkenaan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan cuba memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot fiber yang membawa 100 guni penuh benih kerang terbabit dalam perjalanan menuju ke sempadan negara untuk cubaan menyeludup benih kerang terbabit ke Thailand," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Noor Azreyanti berkata, bot, enjin dan benih kerang yang dianggarkan bernilai RM80,000 ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan, Perkara 4(3) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa benih kerang dari suatu tapak kerang semula jadi atau tapak kerang dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

"Maritim Malaysia akan terus menggandakan usaha dalam melakukan operasi dan pemantauan di sepanjang perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutamanya menjelang perayaan Aidiladha," ujar beliau.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.