Kadar sewa premis tak masuk akal

Kumpulan peniaga Astaka Mutiara Selera membuat bantahan aman di Komtar, Georgetown pada Selasa.
Kumpulan peniaga Astaka Mutiara Selera membuat bantahan aman di Komtar, Georgetown pada Selasa.
A
A
A

KEBAKARAN pada 7 November 2020 telah menjejaskan lebih 30 peniaga di Astaka Mutiara Selera dekat Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Selain terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit akibat barangan dagangan musnah, mereka juga buntu kerana tidak dapat berniaga ketika kerja-kerja baik pulih astaka dilakukan.

Apatah lagi, pada masa sama negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Lebih malang, mereka dikhabarkan kadar sewa ruang niaga di situ akan dinaikkan kepada RM900 berbanding RM36 sebulan sebelum ini.

Wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman menyelami luahan hati peniaga-peniaga yang terlibat.


Daniel
Daniel

Bagi peniaga makanan laut dan ikan bakar, Daniel Chow, 42, kadar sewa baharu yang dikenakan kepada peniaga kecil sepertinya disifatkan terlalu mahal dan mengejutkan peniaga yang sudah lama menyewa di medan selera terbabit.

Dia yang berniaga di astaka itu selama hampir 23 tahun memberitahu, kadar sewa itu tidak masuk akal dan amat membebankan kerana naik sehingga 25 kali ganda.

“Kami faham kadar sewa RM36 sebulan mungkin terlalu rendah pada masa ini, namun agak-agaklah kalau nak naikkan, takkan sampai RM900.

“Kami jangkakan sewa mungkin dikenakan sekitar RM300 hingga RM350 sebulan selepas Chief Minister Incoperated (CMI) mengambil alih astaka ini daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang susulan kebakaran pada 2020, namun lain pula jadinya,” katanya.

Sundra
Sundra

Keluhan sama diluahkan peniaga capati, S Sundra, 43, yang buntu dengan kadar sewa baharu itu.

Sundra yang sudah 20 tahun berniaga capati di astaka itu berkata, sudah hampir tiga tahun dia hilang pendapatan disebabkan kerja-kerja pembinaan semula, kini dia perlu berfikir sama ada mahu meneruskan perniagaan atau terpaksa gulung tikar disebabkan masalah yang dihadapi.

“Saya dan isteri mengharapkan perniagaan kami kembali seperti dahulu namun tidak sangka pula penantian kami dirumitkan pula dengan kadar sewa yang melambung tinggi.

“Bayangkan, kalau kami perlu bayar sewa RM900 dengan kos bahan untuk menyediakan capati lagi, berapa saya boleh jual kepada pelanggan?

“Pasti pelanggan lari kalau kami jual dengan harga yang tinggi dan akhirnya kami gulung tikar,” katanya.

Maryani
Maryani

Seorang lagi peniaga, Maryani Mat Yunus, 61, memberitahu pada perbincangan baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari berjanji kadar sewaan baharu adalah rendah iaitu tidak melebihi RM350 sebulan.

“Kami difahamkan, jika kami bersetuju dengan kadar sewaan baharu itu, peniaga boleh berpindah masuk dan mula berniaga pada 1 Julai depan.

“Kami buntu dan berharap ada jalan penyelesaian pada kadar segera,” katanya.

Sebelum ini, kumpulan peniaga Astaka Mutiara Selera di Tanjung Bungah di sini berhimpun secara aman di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri di Komtar bagi mendesak campur tangan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu yang mereka hadapi.

Mereka juga menyerahkan memorandum bantahan mengenai kenaikan kadar sewa itu kepada Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Zahar Zainol.

Memorandum terbabit mengandungi gesaan supaya CMI menarik balik kenyataan kenaikan sewa yang tidak masuk akal selain mendesak supaya astaka berkenaan diambil alih semula oleh MBPP.

Agensi kerajaan sepatutnya bantu, bukan beri tekanan

Sementara itu, Agensi Persekutuan mahupun negeri perlu membantu kumpulan peniaga di Astaka Mutiara Selera dekat Tanjung Bungah yang mahu kembali bangkit memulakan perniagaan selepas ditimpa musibah tiga tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata, sewajarnya urusan kumpulan peniaga kecil ini dipermudahkan untuk mereka kembali mencari rezeki dan bukannya ditekan dengan mengenakan kadar sewa yang tidak munasabah.

Sophian
Sophian

“Sepatutnya agensi kerajaan dan pihak berkaitan perlu lebih simpati kepada golongan peniaga kecil ini, sudahlah barang perniagaan mereka musnah, kini mereka runsing bagaimana nak mulakan perniagaan dengan kadar sewa yang sangat mahal.

“Mereka juga perlu mengumpul modal untuk memulakan kembali perniagaan malah semua peralatan berniaga seperti pinggan mangkuk, peti sejuk dan dapur perlu dibeli baharu.

“Kita mahu agensi yang berkaitan tampil membantu mereka ini sama ada memberi pinjaman perniagaan, geran atau apa sahaja bantuan yang boleh meringankan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Beliau menyifatkan penetapan kadar sewa baharu kepada kumpulan peniaga itu agak keterlaluan selain dilihat seolah-olah mahu mengusir mereka daripada mencari rezeki di kawasan berkenaan.

Sophian berkata, kesemua peniaga yang terlibat mahu kembali berniaga di situ, namun mengharapkan kadar sewa yang munasabah dikenakan iaitu antara RM300 hingga RM350.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak yang berkaitan terutamanya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turun padang mendengar sendiri keluhan peniaga kecil yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan memastikan setiap agensi mengamalkan pentadbiran yang merakyatkan ekonomi dan membantu golongan peniaga kecil.

“Kita harap isu ini boleh diselesaikan dan mereka tidak dihalau dari tempat ini.

“Ini bukan isu peniaga Melayu sahaja malah peniaga Cina dan India turut terkesan.

“Jadi, jangan biarkan mereka terus melarat dan tertekan,” katanya.