Usah perkecil peranan rakan gabungan - Raja Bahrin

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membidas kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berhubung proses agihan kerusi antara parti komponen BN dan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Jelas beliau, sikap saling menghormati sesama pihak yang berunding amat diperlukan apatah lagi jika rundingan itu melibatkan sesama rakan gabungan parti.

"Kami bukan mahu mengharap jawatan lantikan tetapi mahu menyumbang dengan cara bermakna dalam PRN terutamanya melibatkan lapan kerusi yang menang dengan majoriti tipis di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Raja Bahrin, lapan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu ditentukan dengan jumlah majoriti yang tipis iaitu kurang dari 900 undi dimana jika dihitung jumlah undi dimenangi PH lebih besar berbanding majoriti kemenangan.

"Ada juga yang menang dengan bilangan majoriti undi yang rendah misalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil (empat undi), DUN Bukit Besi (46 undi) dan DUN Jabi (55 undi).

"Undi diperoleh PH lebih tinggi daripada majoriti kemenangan UMNO atau Pas sekali gus menunjukkan bahawa peranan parti gabungan lain tidak harus diperkecilkan," katanya.

Selain tiga DUN itu, Raja Bahrin berkata, lima DUN lagi turut mencatatkan majoriti kemenangan yang tipis (kurang 900 undi) iaitu di DUN Kuala Besut (143 undi), DUN Batu Rakit (299 undi), DUN Ladang (363 undi), DUN Pengkalan Berangan (490 undi) dan DUN Air Putih (746 undi).

Dalam pada itu, Raja Bahrin meluahkan keyakinan bahawa parti baharu boleh membantu menjadi 'king maker' atau penentu dalam PRN nanti.

"Berdasarkan majoriti kemenangan tipis yang diperoleh di lapan DUN itu, kita percaya (PH) boleh membantu menjadi 'king maker' jika penglibatan kami dihargai dan tidak direndahkan.

"Semoga kita sama-sama muhasabah jika kita rakan dalam satu bahtera yang menuju ke matlamat sama," ujarnya.

Sebelum ini, Ahmad berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengukur baju di badan sendiri terutama dari aspek kekuatan jentera, jumlah sokongan dan ahli akar umbi parti itu sebelum meminta jumlah kerusi yang banyak untuk ditandingi di Terengganu.

Ujarnya, parti berkenaan juga perlu berlapang dada dengan keputusan agihan kerusi yang telah dicadangkan UMNO Terengganu kepada pimpinan tertinggi di peringkat pusat, baru-baru ini.

Katanya, agihan kerusi telah selesai dan beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

Selain itu, Ahmad turut meminta supaya parti komponen yang bertanding dalam PRN di Terengganu perlu menerima hakikat bahawa 'pertarungan' sebenar dalam pilihan raya itu hanya melibatkan dua parti dominan iaitu Pas dan UMNO.