Rafizi tepis dakwaan kerajaan pusat tumbang selepas PRN

Rafizi semasa sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Inisiatif Kemudahan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
Rafizi semasa sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Inisiatif Kemudahan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini menepis dakwaan kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang selepas pilihan raya negeri (PRN).

"Secara logiknya bagaimana perkara ini boleh berlaku selepas pilihan raya negeri? Undi tidak percaya tidak akan berlaku, lompat parti tidak boleh, dan sekiranya blok besar meninggalkan Kerajaan Perpaduan, kerajaan masih kekal, ia ‘numerically difficult’,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus Kementerian Ekonomi dan Jabatan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Razifi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang dilaporkan berkata PRN kali ini amat unik dan boleh menggugat kerajaan pusat jika Perikatan Nasional (PN) mampu memperolehi kemenangan di lima daripada enam negeri yang akan mengadakan PRN.

PRN akan berlangsung di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bagi menghadapi PRN berkenaan, Rafizi berkata setakat ini rundingannya hampir 98 peratus selesai.

"Ada sedikit pertindihan namun ia akan dimuktamadkan kemudian," katanya. - Bernama