Perhilitan nafi bertindak kejam, tangkapan kera ikut prosedur

Laporan polis turut dibuat oleh pengadu berkenaan isu tangkapan kera di Batu Caves baru-baru ini
Laporan polis turut dibuat oleh pengadu berkenaan isu tangkapan kera di Batu Caves baru-baru ini
A
A
A

BATU CAVES - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menafikan bertindak kejam ketika melakukan penangkapan kera di Apartment Sunway Batu Caves baru-baru ini.

Perhilitan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak melakukan tembakan terhadap kera dalam perangkap seperti didakwa sebaliknya hanya suntikan pelalian digunakan bagi menidurkan atau merehatkan haiwan berkenaan sebelum proses pemindahan dilakukan.

Menurutnya, kera yang masuk dalam perangkap tersebut akan segera diambil Perhilitan bagi mengelakkan haiwan tersebut mati di dalam perangkap tersebut.

"Jabatan ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang unsur kekasaran dan kezaliman dilakukan seperti yang dilaporkan.

" Kami menafikan sekerasnya kesemua tuduhan tersebut sebaliknya kakitangan jabatan telah menjalankan tugas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kenyataan media itu sebagai menjawab kepada laporan sebuah portal pada Isnin yang mendakwa Perhilitan telah menembak kera dalam dalam perangkap pada jarak dekat.

Laporan portal tersebut turut mendakwa kera ditangkap dibiarkan mati serta ditinggalkan di lokasi hingga menimbulkan bau busuk.

Selain itu, penduduk mendakwa Perhilitan tidak memaklumkan mengenai tembakan yang dilepaskan.

Perhilitan berkata, laporan tersebut telah menimbulkan salah faham dan sentimen negatif orang awam terhadap tindakan diambil oleh jabatan berkenaan.

"Kehadiran kami ke lokasi aduan telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan bangunan yang sedia maklum mengenai tindakan dilakukan.

"Tindakan diambil Perhilitan ini mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu kebenaran pegawai menjalankan kuasa

dengan memburu mana-mana hidupan liar jika ia berbahaya kepada nyawa atau harta manusia.

"Tindakan ppengurusan kawalan konflik kera tersebut adalah berdasarkan aduan-aduan kacau ganggu kera di lokasi berkenaan yang telah menyebabkan kerosakan harta benda dan mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk setempat," katanya.

Justeru, orang ramai dinasihat mendapatkan maklumat sahih dan tepat berkenaan pengurusan konflik hidupan liar di Semenanjung Malaysia.

Sebarang aduan dan matlumat berkenaan gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline di talian hotline Perhilitan.