Shaik Abdul Rasheed dilantik Gabenor Bank Negara

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.
Dalam satu kenyataan, BNM berkata, Abdul Rasheed akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.
"Menerajui Bank selama lima tahun ini merupakan suatu penghormatan kepada saya. Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin Bank dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.
"Saya percaya Rasheed merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui Bank sebagai Gabenor, setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau. Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin Bank bagi terus memenuhi mandat Bank iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” kata Nor Shamsiah.