40 mangsa kecewa rumah impian gagal disiapkan pemaju

Rumah Masitah siap hampir 60 peratus sebelum terbengkalai selepas pemaju mendakwa telah muflis. Gambar kecil: Mustafa
Rumah Masitah siap hampir 60 peratus sebelum terbengkalai selepas pemaju mendakwa telah muflis. Gambar kecil: Mustafa
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 40 mangsa kerugian ratusan ribu ringgit apabila sebuah syarikat yang menawarkan pembinaan rumah di atas tanah sendiri gagal menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Syarikat yang beroperasi di Seri Kembangan itu menawarkan pembinaan rumah dengan harga mengikut pakej reka bentuk ditetapkan.

Seorang pesara kerajaan, Masitah Sardi, 70 berkata, dia telah membayar lebih RM90, 000 kepada syarikat berkenaan bagi pembinaan rumah di tanah pusaka milik orang tuanya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Wanita berkenaan terpengaruh dengan perkhidmatan tersebut yang diiklankan menerusi Facebook sebelum pergi ke pejabat pemaju berkenaan untuk melihat pameran diadakan pada Januari tahun lepas.

"Lepas berpuas hati dengan penerangan diberikan, saya telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM5,000 sebelum menandatangani perjanjian persetujuan menggunakan khidmat syarikat tersebut.

"Saya seterusnya membayar kos projek secara berperingkat bermula RM39,000 pada Januari tahun lepas disusuli RM24,000 dan 19,000 pada Ogos lalu manakala bayaran terakhir sebanyak RM9,000 Januari lalu.

"Rumah tersebut sepatutnya siap dalam tempoh kurang lapan bulan dari pembayaran pertama namun sehingga kini projek rumah tiga bilik itu belum disiapkan mengikut jadual dijanjikan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, rumah tersebut telah siap hampir 60 peratus dan kini terbengkalai selepas pemaju mendakwa telah muflis menerusi surat yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

"Susulan itu, laporan polis telah dibuat pada Jun lalu kerana rasa ditipu pemaju berkenaan yang seolah-olah lepas tangan selepas pembayaran diterima.

"Saya berharap orang ramai tidak terpedaya dengan perkhidmatan ditawarkan syarikat tersebut kerana saya dapati iklan tersebut masih disiarkan di Facebook untuk menarik mangsa baharu," katanya.

Seorang pengawal keselamatan, Mustafa Ishak, 56, berkata, hasratnya untuk duduk di rumah baharu di Muar, Johor tidak kesampaian selepas syarikat pemaju berkenaan masih gagal menyiapkannya.

"Saya sudah bayar RM68,000 tahun lepas namun tiada sebarang kerja dilakukan. Selepas saya buat laporan polis pada Mei lalu, pemaju hanya main wayang dengan mencangkul tanah tersebut namun dibiarkan kosong selepas itu.

"Saya gunakan duit simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk bina rumah tersebut, ingat nak duduk kampung selepas pencen tetapi tak sangka ditipu pemaju," katanya.

Mustafa berkata, dia telah mengambil sikap berhati-hati sebelum mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan.

"Saya tidak terus setuju untuk guna khidmat pemaju ini sebaliknya saya ada bertanya kepada beberapa orang yang telah menggunakan khidmat syarikat tersebut.

"Ada yang berjaya dirikan rumah antara sebab saya terpengaruh untuk setuju namun saya tidak bernasib baik apabila rumah dijanjikan tidak dilaksanakan.

"Saya buat laporan polis sebagai pilihan terakhir selepas buntu apabila pemaju tidak mengendahkan desakan saya untuk menyiapkan projek dijanjikan. Saya kini dalam proses membawa kes ini ke tribunal untuk tindakan lanjut," katanya.

Seorang lagi mangsa, Normina Mustafa memaklumkan telah membayar RM92,000 kepada pemaju namun tiada sebarang kerja dilaksanakan sehingga kini.

"Apa pun tak naik lagi walaupun sebuah bata. Saya tunggu dari Ogos 2022 sampai sekarang.

"Saya hampa dan kecewa, mereka janji nak buat Disember lalu tapi sampai sekarang tak naik juga rumahnya, " katanya membabitkan projek pembinaan di Teluk Intan, Perak.