Empangan surut: Rutin penduduk tak terjejas

Empangan Bukit Merah pada ketika ini mengalami penyusutan dengan aras kritikal pengairan tahap satu.
Empangan Bukit Merah pada ketika ini mengalami penyusutan dengan aras kritikal pengairan tahap satu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Penyusutan paras air Empangan Bukit Merah di sini tidak menjejaskan rutin penduduk terutama aktiviti pertanian dan nelayan.

Trend paras air empangan itu menunjukkan penurunan ketara bermula 29 Mei lalu, namun masih terkawal dengan status aras kritikal pengairan pada tahap satu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, aktiviti tangkapan ikan oleh nelayan darat di Tasik Bukit Merah dilakukan seperti biasa.

Kawasan pertanian sawah padi seluas 12,400 hektar di Bagan Serai dan Semanggol pula masih menerima bekalan air walaupun catuan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pesawah, Mohd Zahid Samad, 46, berkata, aktiviti sawah ketika ini baharu memasuki musim awal penanaman dengan anak padi rata-rata berusia lebih satu bulan.

Menurutnya, dalam tempoh itu, anak padi memerlukan pengairan air yang tinggi bagi proses tumbesaran sempurna selain mengelak risiko penyakit.

"Setakat ini bekalan air tidak dihentikan, hanya catuan dilakukan secara berjadual.

"Kami harap catuan ini tidak berlarutan terlalu lama kerana khuatir akan menjejaskan hasil pengeluaran padi musim ini," katanya.

Nelayan darat, Abdul Rahim Che Meh, 60, berkata, keadaan air surut hanya sedikit menyukarkan pergerakan bot kerana banyak akar dan tunggul kayu timbul.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak memberi kesan terhadap hasil tangkapan ikan yang diperoleh seperti baung, lampam, toman dan tilapia.

Keadaan paras Tasik Bukit Merah yang menyusut dilihat dari Jeti Nelayan Darat Kampung Selamat, Semanggol pada Selasa.
Keadaan paras Tasik Bukit Merah yang menyusut dilihat dari Jeti Nelayan Darat Kampung Selamat, Semanggol pada Selasa.

"Setakat ini ikan masih ada, kami pun turun ke tasik macam biasa juga.

"Cuma sekarang ini bot tak boleh laju, kalau selalu boleh jalan 5 minit, sekarang ambil masa sampai 45 minit untuk elak tunggul kayu," katanya.

Sementara itu, Arshad Basri, 63, dari Kampung Ban Pisang, Bukit Merah berkata, bekalan air di kawasan penempatan penduduk juga tidak mengalami sebarang gangguan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk tidak begitu cemas dengan penurunan paras air di empangan yang berlaku ketika ini.

"Bukan pertama kali paras empangan surut, banyak kali juga berlaku, tetapi alhamdulillah, tidaklah sampai kami tidak ada air.

"Keadaan sekarang memang panas, kali terakhir hujan Ahad lepas, itu pun sebelah pagi, sampai hari ini (Selasa) langsung tak ada hujan dah," ujarnya.

Bacaan paras Empangan Bukit Merah yang direkodkan pada sebelah pagi Selasa adalah 6.995 meter iaitu masih di aras kritikal pengairan tahap satu.

Bekalan air tidak dihentikan di kawasan sawah padi, hanya catuan dilakukan secara berjadual.
Bekalan air tidak dihentikan di kawasan sawah padi, hanya catuan dilakukan secara berjadual.

Paras normal bagi Empangan Bukit Merah adalah 8.69 meter sementara aras berjaga-jaga pengairan 7.62 meter.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian Empangan Bukit Merah, aras kritikal pengairan tahap satu adalah pada bacaan 7.010-6.706 meter, kritikal tahap dua (6.401-6.706 meter) dan tahap tiga (6.069-6.401 meter).