'UMNO tak serius tuntut pengampunan buat Najib' - Zaid

Zaid
Zaid
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO disifatkan tidak serius menuntut pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, mereka dilihat tidak membuat sebarang usaha untuk meyakinkan orang awam mengenai pengampunan diraja itu.

Menurutnya, tiada sebarang perincian dibuat mengenai tujuan pengampunan tersebut sama ada wajar atau sebaliknya dan isu tersebut perlu diambil kira untuk menjayakannya selain hanya menyediakan petisyen yang mana ia tidak pernah didedahkan kepada umum.

“Apa yang jelas, UMNO berdiam diri tentang membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keputusannya tidak pernah didedahkan.

“UMNO sekadar berjanji akan buat segalanya tapi mereka tidak melakukannya, semestinya semua ahli akan percaya kata pemimpinnya membantu Najib.

“Sebab itu UMNO tidak akan berjaya dalam pilihan raya negeri (PRN) mendatang dan mereka akan bertanya tentang janji UMNO kali ini ” katanya menerusi ciapan Twitternya pada Selasa.

Zaid mengambil contoh kisah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang tidak bersetuju dengan alasan meringankan hukuman penjara 35 tahun ke atas Chelsea Manning yang membocorkan rahsia ketenteraan.

Tambahnya, bekas Presiden AS, Gerald Ford mengampuni Richard Nixon kerana mahukan perdamaian nasional, menerima kongres adalah betul dalam mendakwa Nixon tetapi merasakan pengampunan adalah perlu.

Selain itu, bekas presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela serta Frederik Willem de Klerk memberikan pengampunan kepada penjenayah semasa Aparteid untuk pembinaan semula negara.

Zaid juga menyentuh isu proses pengampunan ketika pendedahan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan jenayah terhadap Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

“Alasan itu tidak relevan namun masih boleh digunakan untuk menangkis keputusan kerajaan mengenai pengampunan diraja tersebut,” ujarnya dalam ciapan sama.