Tok Pa cadang konsep kerajaan diperbadankan

Mustapa menjawab soalan salah seorang peserta Dialog@Shah Alam di SACC hari ini.
Mustapa menjawab soalan salah seorang peserta Dialog@Shah Alam di SACC hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep kerajaan diperbadankan (goverment incorporated) perlu diperkenalkan bagi menjaga hubungan baik antara pimpinan kerajaan dan penjawat awam.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekitar tahun 1981, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memperkenalkan konsep Malaysia Diperbadankan (Malaysia Corporated) selepas menyedari peranan swasta dalam membantu memberi pulangkan kepada kerajaan.

"Oleh itu, konsep kerajaan diperbadankan ini dilihat dapat mewujudkan hubungan baik antara penjawat awam dan pimpinan kerajaan untuk bekerja sebagai satu pasukan.

"Malaysia ini hebat tapi kalau politikus dan penjawat awam tak berapa baik, ia akan membantutkan usaha untuk melaksanakan sebarang misi atau dasar kerajaan pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog@Shah Alam bertajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Mustapa yang dikenali sebagai Tok Pa berkata, kerajaan dan penjawat awam seharusnya mempunyai kerjasama berterusan secara formal dan tidak formal.

"Aspek komunikasi dua hala memainkan peranan penting bagi menggelakkan sebarang persepsi tidak baik terhadap sebarang usaha kerajaan pada masa kini.

"Jika kerajaan tak berjaya fahamkan rakyat tentang misi dan visi mereka, jadi kita kena gunakan bahasa yang mudah supaya orang faham," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan itu juga kena tepat dan kerajaan perlu melabur dalam aspek komunikasi supaya hubungan baik dengan rakyat dapat dibentuk.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, komunikasi dua hala itu juga perlu dititik-beratkan bagi membolehkan kerajaan mendapat maklum balas dalam sesuatu perkara.

"Pimpinan kerajaan seharusnya sedia mendengar sebarang maklum balas daripada penjawat awam dengan terbuka dan positif.

"Perkara ini perlu diberi keutamaan kerana kita tidak pernah berhadapan dengan peralihan kerajaan sebelum ini malah rakyat juga inginkan keputusan yang cepat dalam sesuatu perkara," katanya.